Pembangunan Pantai Timur didakwa tidak seimbang

Belanjawan 2026: Pembangunan Pantai Timur didakwa tidak seimbang

AHMAD AMZAD HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas mendakwa wujud ketidakseimbangan agihan pembangunan wilayah dalam pembentangan Belanjawan 2026 yang diumumkan baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, meskipun belanjawan kali ini memperincikan pelbagai inisiatif penting bagi kesejahteraan rakyat dan pengukuhan ekonomi negara, masih wujud jurang ketara khususnya melibatkan negeri-negeri Pantai Timur.

Katanya, pembangunan nasional tidak seharusnya terus berpusat di wilayah tengah dan selatan Semenanjung, sebaliknya perlu dilaksanakan secara adil serta menyeluruh agar negeri seperti Terengganu tidak terus terpinggir.

“Saya melihat keperluan mendesak untuk menyemak semula struktur tadbir urus Lembaga Pelabuhan Kemaman (LPKmn) yang ketika ini berkongsi pengurusan dengan Lembaga Pelabuhan Kuantan (LPKtn). 

“Situasi ini menyebabkan tumpuan pembangunan lebih menjurus kepada Pelabuhan Kuantan, sedangkan Pelabuhan Kemaman memiliki potensi besar sebagai pelabuhan laut dalam berasaskan industri minyak, gas, tenaga dan maritim hijau,” katanya di sini.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menggesa kerajaan menubuhkan LPKmn sebagai entiti berdikari dengan kuasa penuh bagi merancang dan mempromosikan potensi pelabuhan itu secara strategik di samping menyediakan dana khas untuk menaik taraf kemudahan seperti dermaga laut dalam, zon logistik dan terminal kontena.

Sementara itu, beliau menekankan kepentingan mempercepat pelaksanaan projek Kemaman Maritime Industrial Hub di bawah ECER, dengan penyertaan aktif kerajaan negeri dan industri tempatan, sebagai nadi baharu pertumbuhan ekonomi Pantai Timur.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur asas di Terengganu. 

“Antaranya ialah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Ibai yang perlu disegerakan demi keselamatan penduduk setempat setiap kali musim tengkujuh. Selain itu, penambahan insentif kepada nelayan dan petani di Pantai Timur, peningkatan pelaburan dalam sistem pertanian moden, serta jaminan penyertaan rakyat tempatan dalam industri tenaga hijau dan nadir bumi agar mereka tidak sekadar menjadi pemerhati dalam projek berskala besar,”katanya.

Dalam isu kesihatan, beliau menegur peruntukan besar kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang menurutnya belum diterjemah secara efektif di negeri-negeri Pantai Timur.

Katanya, kapasiti rawatan neonatal di HSNZ perlu ditingkatkan dan hospital daerah seperti Dungun, Besut dan Setiu turut diperkasa dengan kemudahan dan kepakaran yang mencukupi.

Dalam aspek keadilan fiskal, Amzad menegaskan bahawa negeri pengeluar sumber seperti Terengganu berhak menikmati pulangan pembangunan yang setimpal. 

Justeru, beliau mencadangkan Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) diberi mandat menilai semula projek strategik dan dana penyelidikan diagih secara adil kepada institusi seperti UMT, UniSZA dan TATIUC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN