PETALING JAYA: Insentif pelepasan cukai RM1,000 bagi perbelanjaan pelancongan domestik dijangka menghidupkan semula sektor pelancongan tempatan yang terjejas akibat perubahan corak perbelanjaan rakyat.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Acara, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Hasan Mohamed Zakaria berkata, insentif tersebut dapat merangsang rakyat untuk melancong ke destinasi atau pusat pelancongan tempatan sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi setempat.
Katanya, langkah itu mampu memberi persepsi awal yang baik kepada pelancong kerana wujud potongan atau diskaun harga bagi tempat yang mengenakan bayaran masuk.
“Pelepasan cukai dapat merangsang pelancong untuk pergi melawat ke destinasi atau pusat pelancongan berkaitan.
“Inisiatif ini juga dapat memberi persepsi awal yang positif kepada pelancong kerana terdapat diskaun atau potongan harga bagi tempat yang kenakan bayaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memberi pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Mengulas lanjut, Hasan berkata, skop pelepasan cukai itu wajar diperluaskan kepada perbelanjaan penginapan berdaftar atau pakej pelancongan domestik agar manfaatnya dapat dinikmati dengan lebih menyeluruh.
“Apabila berlakunya pergerakan pelancong ke suatu kawasan, perniagaan atau bisnes berkaitan juga akan dapat kebaikan. Namun begitu, kos fi hanya sebahagian kecil daripada kos untuk melancong.
“Perlu perluaskan skop seperti potongan bagi perbelanjaan di penginapan berdaftar atau pakej domestik. Insentif yang segera juga dapat membantu (voucher atau e-wallet) untuk golongan muda dan keluarga berpendapatan sederhana kerana pembayaran cukai yang tidak terlalu tinggi,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azlizam Aziz berkata, langkah kerajaan memperkenalkan pelepasan cukai itu merupakan strategi positif untuk merancakkan semula sektor pelancongan domestik sempena TMM 2026.
Katanya, insentif berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan perbelanjaan rakyat yang ingin melancong, tetapi turut memberi kesan limpahan ekonomi kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pelancongan.
“Insentif ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan rakyat yang ingin melancong, tetapi juga berpotensi memberi suntikan langsung kepada ekonomi tempatan terutamanya kepada PKS dalam sektor pelancongan seperti penginapan, pengangkutan, makanan tempatan dan aktiviti kebudayaan,” katanya. – UTUSAN










