PARLIMEN: RM12.4 bilion perkasa sosioekonomi luar bandar

PARLIMEN: RM12.4 bilion perkasa sosioekonomi luar bandar

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima peruntukan sebanyak RM12.4 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi memperkasakan sosioekonomi masyarakat luar bandar, meningkat 3.69 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu disalurkan melalui lima kluster utama merangkumi infrastruktur asas, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian bagi menjamin kesejahteraan penduduk di kawasan wilayah serta pedalaman.

Katanya, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan bagi memperkukuh prasarana asas termasuk pembinaan dan naik taraf jalan kampung, bekalan air dan elektrik, selain pemasangan panel solar serta lampu cekap tenaga sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan keterhubungan dan akses kepada utiliti asas, sekali gus mengurangkan kos logistik serta memperkukuh daya saing wilayah secara menyeluruh.

“Bagi kluster ekonomi dan keusahawanan pula, kementerian memberi tumpuan kepada penciptaan pendapatan mampan menerusi pelaksanaan program seperti Desa Kirana yang setakat Januari 2026 telah membangunkan 25 desa bagi mempelbagaikan sumber pendapatan komuniti dalam sektor pelancongan, kraf tangan dan hospitaliti.

“Selain itu, inisiatif menaikkan skala usahawan desa turut dilaksanakan melalui penyediaan latihan, bimbingan pembiayaan serta pendigitalan perniagaan bagi membolehkan produk tempatan menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai strategi pemanfaatan peruntukan Belanjawan 2026 serta mekanisme pemantauan bagi memastikan projek di kawasan pedalaman memberi impak tinggi kepada pendapatan isi rumah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pembangunan modal insan turut diberi penekanan menerusi pelaksanaan program Tenaga Kerja Digital Luar Bandar (RDW) yang melatih belia luar bandar dengan kemahiran digital bagi membolehkan mereka bekerja secara bebas atau jarak jauh.

“Inisiatif ini disokong oleh 191 Pusat Komuniti Desa (PKD) yang dilengkapi internet berkelajuan tinggi bagi memastikan belia luar bandar mampu bersaing dalam ekonomi digital serta meningkatkan mobiliti sosial mereka.

“KKDW juga komited memastikan projek di kawasan terpencil termasuk di Sabah dan Sarawak disiapkan mengikut jadual melalui mekanisme pemantauan berterusan, laporan berkala dan audit keberkesanan.

“Penyelarasan rapat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi pelaksana turut diperkukuh bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan berimpak tinggi serta memenuhi keperluan sebenar komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN