SEPANG: Malaysia secara prinsipnya menyambut baik persetujuan secara bersyarat Hamas kepada 20 perkara di bawah Pelan Damai Trump.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan tersebut amat dinanti-nantikan dan diharap ia akan menjadi titik tolak kepada kedamaian berkekalan bagi Palestin dan rakyatnya.
“Hamas telah pun secara bersyarat menerima 20 perkara yang diutarakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Alhamdulillah kita bersyukur kerana Hamas menerima walaupun dengan bersyarakat maknanya, ia tidak boleh dijadikan alasan bahawa Hamas tidak menerima 20 perkara ini untuk Gaza terus diganyang dan rakyat Palestine terus dibunuh,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di sini hari ini.
Katanya, Hamas menyatakan persetujuan itu secara bersyarat iaitu Gaza harus ditadbir oleh badan berkecuali iaitu badan profesional Palestin.
“Ia (persetujuan Hamas) ditadbir oleh orang Palestin dan bukannya orang dari luar. Dan mereka bersetuju supaya selepas ini nanti terpulang lah kepada mandat rakyat Palestin untuk mentadbir negara Palestin itu sendiri,” katanya.
Isnin lalu, Trump membentangkan pelan damai 20 perkara bagi menamatkan perang di Gaza pada sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih.
Pelan berkenaan mengandungi gencatan senjata segera, pertukaran semua tebusan Hamas dengan banduan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas dan pembentukan kerajaan peralihan yang diketuai sebuah badan antarabangsa. – UTUSAN