BAGAN DATUK: Pelabuhan Bagan Datuk di Hutan Melintang di sini menerima ketibaan kapal dagang pertamanya selepas lima tahun tidak beroperasi berikutan penutupan akibat pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
Kapal kargo dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia itu tiba pada 14 Oktober lalu, menandakan detik bersejarah kepada pelabuhan tersebut yang sebelum ini hanya berfungsi sebagai terminal feri menghubungkan Malaysia dan Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif Ghadaf Marble Sdn. Bhd., See Mei Qi berkata, pihaknya yang baru menguruskan pelabuhan tersebut sudah bersedia menjadi hab perdagangan maritim utama yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Ketibaan kapal dagang ini bukan sekadar pencapaian operasi tetapi juga simbol kemajuan dan potensi besar bagi daerah ini sebagai pintu masuk strategik urusan kargo serta aktiviti perdagangan laut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, nakhoda kapal dagang dari Indonesia itu, KLM Kepala Mas, Darlin, 41, berkata, pelayaran dari Tanjung Balai Asahan mengambil masa kira-kira 12 jam melalui laluan Selat Melaka dan tiba di pelabuhan itu dalam keadaan cuaca yang baik.
“Kami bawa muatan 10 tan buah-buahan seperti jambu, kuinin dan tembikai. Alhamdulillah, kali ini masuk ke Malaysia berjaya selepas tiga kali percubaan sebelum ini gagal disebabkan masalah teknikal dan dokumentasi,” katanya.
Darlin yang ditemui di jeti bersama sembilan kru kapal turut melahirkan rasa bangga dapat berlabuh di pelabuhan tersebut buat pertama kali dan mengharapkan lebih banyak kerjasama perdagangan dapat dijalinkan pada masa akan datang.
Pelabuhan Bagan Datuk dijangka memainkan peranan penting sebagai pintu masuk kepada dagangan produk seperti hasil laut, pertanian serta komoditi lain seperti beras, minyak, kelapa dan kayu yang diproses untuk pasaran dalam dan luar negara, termasuk ke Indonesia, Thailand dan Myanmar.-UTUSAN










