Pejabat Tanah Kelantan runding pemilik tanah persendirian isu roboh pangkalan haram

Pejabat Tanah Kelantan runding pemilik tanah persendirian isu roboh pangkalan haram

ANGGOTA Pasukan Gerakan Am (PGA) memantau kerja-kerja merobohkan pangkalan haram Gergaji di Rantau Panjang, Kelantan hari ini. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Proses rundingan dengan pemilik dilakukan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja merobohkan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sini dilakukan melibatkan binaan di atas tanah persendirian.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri, Datuk Nik Raisnan Daud berkata, rundingan itu bagi membolehkan kedua-dua pihak mendapat manfaat.

“Ada tanah-tanah yang kita sedang kesan pemilik. Ini kerana ada pemilik yang sudah meninggal dunia dan tinggal di Kuala Lumpur.

“Jadi ambil masa sedikit untuk selesaikan perkara ini. Bagaimanapun, saya bersyukur rakyat memberikan kerjasama yang baik,” katanya selepas turun padang meninjau kerja-kerja perobohan pangkalan haram di pangkalan haram Gergaji di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kerja-kerja merobohkan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini yang menjadi lokasi penyeludupan dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula hari ini.

Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pangkalan haram Gergaji dan MCA di sini menjadi perintis kepada kerja-kerja perobohan itu yang dijangka mengambil masa selama dua bulan.

Katanya, hasil semakan yang dilakukan mendapati 216 daripada jumlah keseluruhan 233 pangkalan haram bermula dari Pengkalan Kubor hingga Jeli itu dibina diatas tanah milik kerajaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN