TEHERAN: Keganasan baharu menggegarkan Asia Barat awal pagi Isnin apabila Amerika Syarikat (AS) mengumumkan satu lagi gelombang serangan ke atas Iran.
Kuwait turut memaklumkan bahawa ia sedang memintas dron, manakala Kor Pengawal Revolusi Iran mendakwa telah menyerang sebuah pusat pemerintahan musuh di Syria.
Kementerian Dalam Negeri Bahrain turut memaklumkan bahawa siren amaran serangan udara telah dibunyikan dan menggesa rakyat serta penduduk supaya menuju ke tempat perlindungan terdekat yang selamat
Markas Pusat Tentera AS (CENTCOM) lewat Ahad mengumumkan bahawa ia memulakan gelombang serangan ke atas Iran bagi malam kesembilan berturut-turut.
Menurut hantaran di platform X, serangan itu bertujuan melemahkan keupayaan ketenteraan Iran yang digunakan untuk menyerang kapal perdagangan dan pelaut awam di Selat Hormuz.
Perjanjian awal yang bertujuan menamatkan peperangan itu gagal dipertahankan apabila kedua-dua pihak terus bertempur dalam usaha memecahkan kebuntuan berhubung Selat Hormuz, laluan perairan yang penting kepada bekalan minyak dunia.
Sejak perang bermula pada 28 Februari, Iran bertindak balas dengan menyasarkan sekutu dan aset ketenteraan AS di rantau itu, selain hampir menyekat sepenuhnya Selat Hormuz yang sebelum perang menjadi laluan bagi kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Pertahanan udara Kuwait sedang menangkis serangan dron musuh susulan pencerobohan Iran, menurut tentera negara itu awal Isnin.
“Markas Besar Angkatan Tentera memaklumkan bahawa sebarang letupan yang didengari adalah akibat sistem pertahanan udara memintas serangan musuh,” menurut hantaran di akaun rasmi X Tentera Kuwait.
Pengawal Revolusi Iran pada Isnin berkata, mereka telah melancarkan serangan mengejut ke atas sebuah pusat pemerintahan musuh di Syria, menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi IRNA.
Mereka mengumumkan serangan mengejut ke atas pusat pemerintahan operasi khas musuh di wilayah Al-Tanf, Syria sebagai membalas darah anggota tentera Iranshahr yang gugur syahid, menurut kenyataan IRNA yang disiarkan di Telegram.
Iran pada Ahad berkata ia telah menyasarkan dua pangkalan tentera AS di Kuwait sebagai tindak balas terhadap lebih seminggu serangan yang semakin memuncak.
Menurut Teheran serangan AS itu mengenai lokasi pengangkutan dan infrastruktur, termasuk sebuah loji janakuasa nuklear yang masih dalam pembinaan.
Jordan turut melaporkan berjaya memintas beberapa peluru berpandu pada Ahad.
Gelombang keganasan terbaharu itu berlaku selepas hujung minggu yang menyaksikan AS mengumumkan tiga lagi anggota tenteranya terbunuh dan seorang lagi dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas.
Dua anggota terbunuh dalam serangan peluru berpandu dan dron Iran ke atas Jordan pada Jumaat.
Seorang lagi askar AS maut di utara Iraq ketika operasi pemusnahan terkawal bahan letupan yang tidak meletup daripada sebuah dron Iran ditembak jatuh, menurut CENTCOM. – AFP










