KUALA LUMPUR: Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad meluahkan rasa syukur dan lega selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Zizie,48, yang ditemui pemberita sejurus prosiding selesai berkata, beliau amat berterima kasih atas keputusan mahkamah selepas melalui proses perbicaraan yang berlarutan selama tujuh tahun.
“Saya amat berterima kasih dan bersyukur atas keputusan mahkamah hari ini. Saya menghormati keputusan Yang Arif dan berterima kasih kepada mahkamah, pasukan peguam, keluarga serta semua yang mendoakan dan menyokong saya sepanjang proses ini,” katanya.
Balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu berkata, selepas kes berkenaan berakhir, beliau hanya mahu meneruskan kehidupan seperti biasa serta memberi tumpuan kepada tanggungjawab membesarkan lima orang anaknya.
“Selepas ini, saya hanya mahu menjalani kehidupan saya. Saya mempunyai tanggungjawab yang sangat besar. Saya mempunyai lima orang anak yang saya pikul dan saya adalah ibu tunggal sekarang ini.
“Izinkan saya menjalani kehidupan saya seperti biasa,” katanya.
Dalam nada sebak, Zizie mengakui beliau berharap Allahyarham suaminya dapat bersama-sama menyaksikan keputusan mahkamah tersebut.
“Saya berharap suami saya ada bersama saya hari ini. Saya membayangkan dia berada di sebelah saya ketika keputusan ini diucapkan,” katanya.
Mengulas tempoh panjang perbicaraan yang dilaluinya, Zizie berkata, beliau selama ini memilih untuk tidak berkongsi mengenai kehidupan peribadi dan kes yang dihadapinya.
“Hanya Allah yang tahu. Saya seorang yang tidak suka bercerita atau bercakap mengenai kehidupan dan privasi saya.
“Cukuplah tujuh tahun saya memendam rasa. Alhamdulillah, hari ini saya rasa sangat lega,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Zizie daripada tiga pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Keputusan itu dibuat Hakim Rosli Ahmad selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya.
Zizie tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan mengenakan sut berwarna kelabu gelap dan dilihat tenang sebelum prosiding bermula.
Pada 3 Mei 2019, Zizie Izette, 48, didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 38.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, di mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.
Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.
Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama. – UTUSAN










