Pegawai bank berdepan 104 pertuduhan terima rasuah RM398,100

Pegawai bank berdepan 104 pertuduhan terima rasuah RM398,100

Pegawai bank rasuah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pegawai bank mengaku tidak bersalah atas 104 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM398,100 selama empat tahun sejak 2020 yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Zayme Zanee Othman selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, Zayme Zanee, 43, yang merupakan Ketua Unit Pembiayaan cawangan sebuah bank di Seri Kembangan didakwa secara rasuah menerima wang berjumlah RM398,100 secara berperingkat melalui pindahan dalam talian ke dalam akaun bank milik syarikat isterinya.

Wang tersebut merupakan satu upah buat dirinya kerana membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan sebuah syarikat pengurusan kewangan.

Bayaran upah tersebut dibuat melalui akaun bank milik sebuah syarikat lain dan akaun bank milik seorang individu yang dilakukan dekat cawangan sebuah bank di Bandar Baru Bangi dari 19 November 2020 hingga 4 Oktober 2024.

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Subseksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairudin mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan dan larangan mengganggu saksi pendakwaan.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur berserta syarat-syarat tambahan.

Sebutan semula kes ini akan dijalankan pada 17 Disember ini.

Zaymee Zanee merupakan antara pegawai institusi perbankan yang ditahan dalam Ops Sky yang dijalankan SPRM sejak Januari hingga Oktober tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN