KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tidak menamakan calon perdana menteri dari awal kerana bimbang akan dikhianati.
Presiden Pas, itu berkata, keutamaan parti itu adalah memastikan parti menang pilihan raya terlebih dahulu sebelum diumumkan sebagai calon perdana menteri.
“Mungkin orang tanya kenapa tidak umum lagi calon perdana menteri. Satu soalan yang kerap kali ditanya. Suka saya nak jawab, yang penting kami memilih pemimpin yang berintegriti, tidak menentukan orang lagi. Tentukan dia menang pilihan raya.
“Kenapa tidak namakan daripada awal? Demi keselamatan ada bahayanya. Kalau orang tahu dia calon perdana menteri, disogoknya jongkong emas, letak jongkong emas dalam kereta, letak dadah dan sebagainya, tak boleh bertanding atas sebab-sebab yang berlaku
“Ini perkara yang perlu difahami semua pihak,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Rakan sekutu Pas dalam Perikatan Nasional (PN), Bersatu sebelum ini telah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri jika mereka menang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pas memiliki kerusi Parlimen terbanyak dalam gabungan itu.
Abdul Hadi pada Muktamar Pas September lalu telah membuat kenyataan bahawa pemimpin yang umur melebihi 70 tahun tidak sepatutnya menjadi perdana menteri. – UTUSAN
.









