PETALING JAYA: Pas sedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk risiko kekalahan teruk sebagaimana dialami pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila tewas 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi termasuk hilang wang deposit.
Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, pengalaman kekalahan teruk sebelum ini hanya dilihat pemangkin untuk memperkukuh strategi dan gerak kerja parti bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.
Katanya, Pas yang membentuk gabungan di bawah PN kini giat merangka manifesto lebih baik berbanding sebelum ini dengan memberi tumpuan kepada pengundi muda.
“Kita tidak gentar kemungkinan episod sama berulang. Sebaliknya, kita bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan dengan gerak kerja lebih tersusun dan realistik.
“Kita juga sedang bekerja keras di lapangan serta meneliti pendekatan baharu yang lebih sesuai untuk masyarakat Sabah, khususnya dalam kalangan anak muda dan pengundi kali pertama menerusi manifesto yang akan dirangka menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa khas,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pas sebelum ini pernah bertanding secara solo dalam PRU14, namun kalah di semua 18 kerusi DUN ditandingi, manakala parti itu kini pula menyasarkan bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi dalam PRN Sabah nanti.
PN pernah menyasarkan untuk bertanding di 36 daripada 73 kerusi DUN sekaligus memberi bayangan kesediaan gabungan itu untuk mentadbir negeri berkenaan sekiranya diberi mandat rakyat.
Aliakbar ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk meletakkan calon bukan Islam sebagaimana PRU14 berkata, parti itu belum bercadang untuk berbuat demikian.
“Kita masih belum muktamadkan calon setakat ini dan masih mencari. Kalau ada pun sudah semestinya individu tersebut akan bertanding dibawah bendera PN sebagaimana dinyatakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini.
“Begitu juga dengan soal pembahagian kerusi. Kita masih ‘teropong’ lagi dan tiada keputusan setakat ini,” ujarnya. – UTUSAN