Thailand dan Kemboja perlu kembali berunding

Thailand dan Kemboja perlu kembali berunding, selesai secara aman

ANWAR Ibrahim bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Thailand-Cambodia di Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap laporan pertempuran bersenjata antara pasukan Kemboja dan Thailand di sempadan kedua-dua negara itu yang dikhuatiri boleh menjejaskan usaha menstabilkan hubungan dua hala.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Thailand dan Kemboja merupakan rakan rapat Malaysia serta anggota penting ASEAN dan kestabilan blok serantau itu bergantung kepada kerjasama serta penyelesaian pertikaian secara aman.

“Justeru, kedua-dua pihak digesa supaya mengamalkan kawalan diri pada tahap maksimum, mengekalkan saluran komunikasi terbuka dan memanfaatkan sepenuhnya mekanisme sedia ada bagi menangani pertikaian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Agensi berita Reuters hari ini melaporkan Thailand melancarkan serangan udara di sepanjang sempadan yang dipertikaikan dengan Kemboja, selepas kedua-dua negara saling menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata.

Tentera Thailand dilaporkan memaklumkan sekurang-kurangnya seorang askarnya terbunuh manakala empat lagi cedera dalam pertempuran baharu yang tercetus di dua kawasan di wilayah paling timur, Ubon Ratchathani, selepas pasukan mereka terkena tembakan dari Kemboja.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Kemboja dalam satu kenyataan mendakwa tentera Thailand melancarkan serangan pada waktu subuh terhadap pasukannya di dua lokasi, selepas beberapa hari tindakan provokatif, sambil menegaskan bahawa tentera Kemboja tidak membalas serangan tersebut.

Anwar berkata, Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk menyokong sebarang langkah yang boleh membantu memulihkan situasi serta mengelakkan berlakunya insiden.

Menurut beliau, rantau ini tidak boleh membiarkan pertikaian yang telah lama berlarutan bertukar menjadi kitaran konfrontasi yang berpanjangan.

“Keutamaan segera ketika ini adalah untuk menghentikan pertempuran, melindungi orang awam dan kembali ke landasan diplomatik yang disokong oleh undang-undang antarabangsa serta semangat kejiranan yang menjadi asas kepada ASEAN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban atau cedera akibat insiden berkenaan, sambil menegaskan bahawa pertempuran yang kembali tercetus berisiko meruntuhkan usaha rapi yang telah dibina sejak sekian lama bagi memulihkan hubungan dua hala..-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN