KUALA LUMPUR: Pas menafikan rakaman audio tular yang mendakwa kononnya terdapat perjumpaan pimpinan tertinggi parti itu dengan Bersatu bagi membincangkan cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU-16.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak menafikan terdapat perjumpaan Pas bersama Bersatu, Gerakan dan MIPP bagi membincangkan hal ehwal semasa.
Beliau berkata, mesyuarat dan perbincangan tidak rasmi sering diadakan sama ada di pejabat, lokasi seperti Publika mahupun tempat lain, termasuk ketika sidang Parlimen berlangsung.
“Kita dalam Perikatan Nasional sentiasa ada perjumpaan dengan Gerakan, MIPP, apatah lagi dengan Bersatu. Jadi, kalau nak kata ‘perjumpaan top five’ itu perkara biasa.
“Malah, semasa sidang Parlimen pun, Presiden Pas selalu buat sesi macam ‘usrah’ yang dihadiri semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas hari ini.
Mengulas dakwaan Pas yang mahu menamakan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri, beliau menegaskan perkara itu tidak benar.
“Adapun perkara yang dikatakan itu, siapa yang mendakwa tu dia lah berhak membuktikan ‘Beban pembuktian terletak pada pihak pendakwaan’, siapa yang mendakwa tu dia kena jawablah.
“Presiden Pas sudah sebut dengan jelas bahawa PN tidak akan menamakan sesiapa pun sebagai calon Perdana Menteri buat masa ini.
“Fokus kita adalah untuk menang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dahulu, isu siapa Perdana Menteri akan datang kemudian.
“Kita ramai calon-calon perdana menteri, bukan satu sahaja lebih daripada satu pun di kalangan Perikatan Nasional.
“Saya rasa tak timbul benda tu, dengan Tuan Guru Haji Hadi jelas ya tak menamakan Perikatan Nasional, tak menamakan siapapun untuk jadi perdana menteri selepas PRU16,” katanya.
Hari ini, kecoh di media sosial apabila tersebar satu klip audio pendek mirip suara seorang pemimpin Bersatu yang mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membuat cadangan itu dalam pertemuan tertinggi bersama beberapa pemimpin Bersatu, termasuk Ketua Pembangkang itu. – UTUSAN










