Pas dakwa PRN Johor, PRU16 diadakan serentak tahun depan - Utusan Malaysia

Pas dakwa PRN Johor, PRU16 diadakan serentak tahun depan

MAHFODZ Mohamed (tengah) bergambar bersama barisan kepimpinan Pas Johor yang baharu selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas Johor di Bandar Baru Uda, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pas Johor menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan diadakan serentak, tahun depan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed mendakwa, mendapat maklumat bahawa kedua-dua pilihan raya mungkin diadakan seawal selepas sambutan Hari Raya Aidiladha tahun depan atau hujung tahun.

Perkembangan itu memungkinkan PRN Melaka Ke-16 juga bakal diadakan serentak memandangkan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bakal tamat hujung tahun depan.

Dakwa Mahfodz, terdapat permintaan daripada DAP kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar PRU16 diadakan serentak dengan PRN Johor Ke-16.

“Jika benar, ini perkara yang baik kerana ia dapat mengurangkan kos. Jentera Pas dengan keahlian seramai lebih 40,000 ahli dengan 26,000 ahli aktif akan mula digerakkan bagi menyantuni masyarakat di pelbagai peringkat.

“Walaupun belum ada perbincangan rasmi tentang jumlah kerusi yang bakal ditandingi, namun Pas Johor berharap jumlah 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen yang ditandingi boleh ditambah pada masa depan.

“Permintaan ini susulan keyakinan kami untuk memenangi lebih banyak kerusi serta kerjasama baik yang dijalin bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas Johor di sini, hari ini.

Mahfodz berkata, pihaknya akan mempraktikkan konsep ‘Pas for All’ (Pas untuk semua) dengan mendekati pelbagai pihak termasuk parti politik kawan, seteru serta masyarakat awam bukan Islam.

“Kita bukan sahaja mendekati pengundi Muslim dan bukan Muslim tetapi juga rakan-rakan dari parti politik berbeza termasuk UMNO, MIC, MCA dan lain-lain.

“Malahan telah banyak pertemuan yang dibuat sebelum ini, namun ia bukanlah bermakna akan ada kerjasama politik lebih kukuh tetapi sebaliknya atas usaha menyantuni antara satu sama lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN