KUALA LUMPUR: Vaksin universal tidak dapat dibangunkan buat masa ini bagi mencegah influenza kerana virus itu mengalami mutasi (perubahan genetik) yang kerap.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun setiap tahun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menjalankan pemantauan bagi mengenal pasti virus influenza yang dominan pada tahun berkenaan.
Katanya lagi, berdasarkan dapatan itu, vaksin baharu akan dibangunkan bentuk vaksin quadrivalent merangkumi beberapa jenis influenza.
“Virus influenza melalui mutasi yang sangat kerap, justeru itu sehingga hari ini kita tidak dapat membangunkan satu universal vaksin,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang meminta kementerian menjelaskan sama ada vaksinasi akan dilakukan secara tahunan kerana variannya berubah setiap tahun.
Mengulas mengenai ujian pengesanan virus berkenaan, Dzulkefly berkata, ujian makmal tidak dijalankan secara rutin bagi semua kes Influenza-Like Illnesses (ILI) kerana majoriti kes hanya melibatkan gejala ringan yang boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan klinikal.
“Diagnosis dapat dibuat berdasarkan simptom tanpa perlu pengesahan makmal, kerana ujian tersebut tidak mengubah rawatan yang diberikan,” katanya. – UTUSAN










