KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menghentikan amalan menggunakan hasil dan dividen daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk menampung perbelanjaan operasi kerajaan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan asal penubuhan GLIC yang sepatutnya berfungsi penjana kekayaan jangka panjang bagi rakyat, bukannya sebagai ‘penyelamat fiskal’ kerajaan.
“Bagi tahun 2026 sahaja, kerajaan terus bergantung dengan bayaran dividen sebanyak RM20 bilion daripada Petronas. Selain itu Petronas juga membiayai projek Bandar Madani berjumlah RM4 bilion, manakala RM12 bilion bagi transaksi Bandar Malaysia.
“Persoalannya, sampai bila? Adakah ini sumber hasil yang mapan atau sekadar suntikan sementara untuk menutup defisit?
“Kita tidak boleh bergantung kepada dividen Petronas setiap kali kerajaan kekurangan dana. Petronas bukan tabung kecemasan kerajaan. Ia syarikat strategik yang sepatutnya melabur untuk masa depan negara.
“Jika setiap tahun hasil Petronas digunakan untuk menampung operasi kerajaan, maka tidak lama lagi Petronas akan menjadi lembaga zakat kepada kerajaan, bukan syarikat minyak negara. Jangan sembelih angsa yang keluarkan telur emas,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Hamzah, hasil negara mesti datang daripada aktiviti ekonomi sebenar iaitu pelaburan, inovasi dan produktiviti, bukan memerah syarikat milik negara.
Beliau memberi contoh, dalam Belanjawan 2026, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kini terlibat dalam dana pelaburan bersama bernilai RM1.2 bilion untuk syarikat ‘sedang berkembang.’
“KWAP ialah sebuah badan yang menguruskan dana persaraan awam melebihi RM158 bilion. PN tidak mahu KWAP berperanan seperti venture capital. KWAP tidak boleh terdedah kepada pelaburan risiko tinggi yang tidak menjamin pulangan jangka panjang.
“Begitu juga dengan Khazanah Nasional Berhad, yang tidak sepatutnya terlibat dalam projek pengubahsuaian Carcosa Seri Negara bernilai RM600 juta. Persoalannya, adakah mengubah suai Carcosa Seri Negara ini sebahagian daripada peranan strategik Khazanah?
“Berapakah pulangan yang Khazanah akan dapat daripada projek ini? PN menegaskan bahawa adalah lebih baik projek seperti ini diswastakan, seperti mana projek Hotel Majestic di Kuala Lumpur. Melalui kaedah penswastaan, kerajaan dapat mengutip hasil melalui sewaan atau cukai yang dibayar oleh pihak-pihak yang terlibat,” katanya.
Tegasnya, GLIC perlu diberikan kebebasan korporat, bebas daripada campur tangan politik, dan setiap keputusan pelaburan mereka mesti dinilai berdasarkan prestasi.
“Yang Amat Berhormat Tambun perlu sedar, apabila GLIC mengalami kerugian, yang menanggungnya tetap rakyat seperti pencarum KWSP, pesara KWAP, dan pelabur PNB,” katanya.










