PARLIMEN: RUU sah walaupun tidak dirujuk jawatankuasa

PARLIMEN: RUU sah walaupun tidak dirujuk jawatankuasa

DEWAN rakyat- JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada isu berbangkit berhubung Rang Undang-undang (RUU) yang diluluskan di Dewan Rakyat tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK).

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, RUU yang tidak dibawa ke JKPK sebelum diluluskan tetap sah dan teratur kerana pembentangan kepada jawatankuasa itu bukan sebahagian daripada proses meluluskan undang-undang.

Katanya, pembentangan kepada JKPK hanyalah sebagai platform rasmi bagi kementerian mendapatkan maklum balas awal berhubung RUU yang akan dibentangkan kelak.

“Berkenaan status RUU yang diluluskan tanpa JKPK memanggil kementerian untuk menelitinya, saya ingin maklumkan isu tersebut tidak berbangkit.

“RUU tersebut adalah teratur dan sah kerana pembentangan kepada JKPK bukanlah sebahagian daripada proses meluluskan undang-undang, sebaliknya sebagai platform rasmi untuk kementerian mendapatkan maklum balas awal,” katanya ketika pemasyhuran Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata, Peraturan Mesyuarat 80B(3)(a) dengan jelas memperuntukkan menjadi tanggungjawab JKPK untuk meneliti RUU yang telah dibacakan kali pertama.

Katanya, Peraturan Mesyuarat 80B(5) pula memberi kuasa kepada JKPK untuk memanggil kementerian bagi memberikan penjelasan lanjut berhubung sesuatu RUU.

“Amalan ini juga telah dilaksanakan sebelum pindaan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat terkini, di mana terma rujukan ketika itu hampir sama dengan peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat 80B.

“Ia memperlihatkan beberapa JKPK sebelum ini juga tidak memanggil kementerian selepas bacaan pertama dibuat,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan Ahli-Ahli Parlimen supaya mentafsir Peraturan Mesyuarat secara menyeluruh dan bukan secara selektif bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Setiap kenyataan perlu dibuat dengan berhati-hati demi menjaga kewibawaan Dewan yang mulia ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN