KUALA LUMPUR: Penstrukturan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk pengeluaran secara berkala bagi mereka yang mencecah umur persaraan dilihat satu keperluan mendesak.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, berdasarkan laporan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 42 peratus warga emas di negara ini berada di bawah paras kemiskinan relatif.
Selain itu katanya, langkah ini bertujuan memastikan warga emas mempunyai pendapatan berterusan yang dapat menampung keperluan asas sepanjang tempoh persaraan mereka.
“Dengan mengambil kira keadaan semasa, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan satu struktur akaun baharu KWSP yang lebih mampan dan tersusun.
“Struktur ini dicadang untuk dilaksanakan kepada ahli baharu,” katanya menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan asal Wee Tse, Hui Ying berkata, sehingga 31 Ogos tahun ini, jumlah keseluruhan ahli KWSP ialah 16.5 juta orang dengan jumlah simpanan terkumpul sebanyak RM1.31 trilion.
“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 9.9 peratus berbanding RM1.2 trilion pada tahun 2024.
“Daripada jumlah tersebut, sembilan juta ahli atau 55 peratus merupakan ahli aktif iaitu mereka yang masih mencarum secara konsisten. Golongan ini menyumbang kepada RM1.07 trilion daripada keseluruhan simpanan KWSP,” katanya.
Tambah Hui Ying, hanya 23.9 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli KWSP berumur 18 hingga 55 tahun berjaya mencapai paras simpanan asas mengikut umur.
Menurutnya, jumlah tersebut disumbangkan beberapa faktor termasuk pengeluaran ketika Covid-19 dan caruman tidak konsisten. – UTUSAN










