KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menubuhkan Jawatankuasa Keselamatanan Kesejahteraan Murid Sekolah di setiap premis pendidikan bagi membendung masalah gejala sosial yang kian membarah.
Cadangan itu disuarakan oleh 19 ahli Parlimen Pembangkang termasuk Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor.
Saifuddin berkata, jawatankuasa itu perlu melibatkan guru, ibu bapa, alumni, pimpinan masyarakat, agensi berkaitan dan pihak polis bagi memantau keselamatan murid.
Selain itu, katanya, latihan khas untuk guru, warden dan pengawas perlu dipertingkatkan, manakala syarat pengambilan mereka perlu diperketat melalui saringan latar belakang dan penilaian psikologi.
“Semua yang bekerja di sekolah juga mesti memiliki sijil kelayakan khas yang mengesahkan kesesuaian mereka untuk berurusan dengan pelajar.
“Sebagai ahli Parlimen, kami bersedia menghulurkan tangan kepada KPM untuk bekerjasama menjadikan sekolah tempat yang lebih selamat untuk anak-anak kita,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, di sini hari ini.
Kesemua wakil rakyat itu berasa kesal terhadap KPM kerana rakyat melihat seolah-olah kerajaan mengambil pendirian ‘beroperasi seperti biasa’ dalam berdepan isu yang serius berkenan.
Sejak akhir-akhir ini, KPM menerima tamparan hebat apabila dikejutkan dengan insiden rogol berkumpulan, kes cabul, bunuh yang semakin tidak terkawal di kawasan sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat buat anak-anak.-UTUSAN










