JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan mengisytiharkan esok sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengisytiharan itu sebagai tanda penghargaan kepada Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, semalam.
“Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan baginda terhadap lantikan saya sebagai Menteri Besar Johor.
“Saya juga merafak sembah kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas limpah perkenan serta kepercayaan yang diberi untuk terus memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor.
“Saya akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, pihaknya memohon doa daripada seluruh rakyat Johor agar Allah terus memimpin dan mempermudahkan segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.
“Semoga setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan integriti. Semoga setiap keputusan yang dibuat sentiasa mendapat petunjuk dan keredaan-Nya. Insya-Allah,” katanya.-UTUSAN










