KUALA LUMPUR: Nikotin secara asasnya masih dikawal di bawah Akta Racun 1952, namun pengecualian sebelum ini diberikan terhadap sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin bagi tujuan merokok.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pengecualian tersebut dibuat bagi membolehkan kawalan khas diperkenalkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Oktober 2025.
“Secara dasarnya, nikotin masih tertakluk di bawah Akta Racun 1952. Cuma, pengecualian terdahulu hanya melibatkan sediaan dalam bentuk cecair atau gel yang digunakan untuk tujuan merokok,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN–Tanjong Karang) yang membangkitkan isu peningkatan penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah serta mencadangkan supaya nikotin dimasukkan semula ke dalam senarai bahan Racun Negara.
Menurut beliau, Akta 852 akan memperkukuh pengawalan terhadap semua produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape, merangkumi aspek pendaftaran, pengiklanan, penjualan, pembungkusan, pelabelan, kawalan harga serta pengilangan.
“Melalui Seksyen 3 Akta ini, semua produk merokok perlu didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan sebelum diimport, dikilang atau diedarkan. Kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda, penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Lukanisman berkata, bagi mengekang penyalahgunaan vape dalam kalangan remaja, Kementerian Kesihatan turut melaksanakan larangan pembelian dan penggunaan produk merokok oleh orang belum dewasa (OBD) melalui Seksyen 13(3) dan 17 Akta tersebut.
“Penjualan dalam talian juga dilarang di bawah Seksyen 10, dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman sewajarnya.
“KKM juga telah melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang bermula 1 Ogos lalu, di bawah pendekatan ‘Whole of Nation Approach’ dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan,” katanya. – UTUSAN








