KUALA LUMPUR: Hanya 55 peratus atau 900 fasiliti kesihatan swasta mematuhi peraturan pemaparan harga ubat hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap 1,639 premis di seluruh negara, setakat 31 Julai lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 45 peratus iaitu bersamaan 739 premis didapati belum mencapai tahap pematuhan yang dikehendaki termasuk pemaparan harga ubat tidak lengkap atau harga yang sukar diakses oleh pesakit.
“Dapatan ini menunjukkan masih terdapat keperluan bagi tindakan susulan seperti pengukuhan pemantauan, sesi bimbingan lanjut dan pelaksanaan penguatkuasaan secara berperingkat terhadap premis yang gagal mematuhi keperluan.
“Tiada penalti atau kompaun akan dikenakan dalam tempoh tiga bulan yang berakhir 31 Julai lalu. Bermula 1 Ogos, fasa penguatkuasaan secara pentadbiran akan dijalankan dengan pemeriksaan dan pemantauan berterusan akan dijalankan sehingga 31 Disember ini.
“Surat peringatan boleh dikeluarkan jika berlaku ketidakpatuhan, manakala bermula 1 Oktober depan, kompaun boleh dikeluarkan bagi kesalahan berulang. Penguatkuasaan penuh pula pada 1 Januari 2026,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi [PN-Kuala Langat] mengenai status fasa pelaksanaan berhemah pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti.
Lukanisman berkata, kementerian akan melaksanakan Kajian Pemantauan Harga Ubat (KPHU) bermula September ini, untuk mengkaji impak pelaksanaan pemasaran harga ubat.
“Dapatan kajian ini akan menjadi akses penting bagi merangka cadangan penambahbaikan dasar yang lebih komprehensif dan mampan khususnya dalam aspek penetapan dan ketelusan harga ubat-ubatan di fasiliti kesihatan swasta.
“Ia juga ke arah mewujudkan sistem perkhidmatan farmaseutikal swasta yang lebih telus, adil dan berpaksikan pengguna,” katanya. – UTUSAN










