PARLIMEN: Tiada perancangan tubuh tribunal pesakit

PARLIMEN: Tiada perancangan tubuh tribunal pesakit

LUKANISMAN AWANG SAUNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) belum mempunyai perancangan untuk menubuhkan tribunal pesakit bagi menerima sebarang aduan dan laporan mengenai perkhidmatan di hospital swasta.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pengendalian aduan terhadap hospital swasta adalah di bawah tanggungjawab Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) selaras peruntukan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 iaitu Akta 586.

Jelasnya, mekanisme untuk pesakit menyalurkan ketidakpuasan hati terhadap hospital swasta diperuntukkan di bawah Seksyen 36, Akta 586 dan Peraturan 40 Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta, Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta lain 2006.

“Setiap aduan akan disiasat dan sekiranya berlaku pelanggaran perundangan tindakan seperti notis tunjuk sebab, amaran pengkompaunan, kesalahan penggantungan atau pembatalan lesen boleh diambil.

“Mekanisme sedia ada turut memberi ruang kepada pesakit menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap caj yang tidak munasabah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat [PH-Pulai] mengenai rancangan kerajaan mewujudkan tribunal pesakit untuk meluahkan ketidakpuashatian di hospital swasta.

Lukanisman berkata, hospital swasta diwajibkan memaklumkan anggaran kos rawatan kepada pesakit sebelum perkhidmatan diberikan sekiranya dimohon oleh pesakit selaras keperluan di bawah Akta 586.

“Sehingga 2024, sebanyak 817 aduan diterima dengan 188 aduan bersamaan 23 peratus adalah berkaitan dengan aduan caj,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN