PARLIMEN: Nafi tekanan punca DRG tangguh - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Nafi tekanan punca DRG tangguh

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) memerlukan persiapan yang teliti dan pelaksanaan yang kompeten demi mencapai matlamat sistem penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menolak sebarang andaian terhadap pelaksanaan penangguhan DRG dan menegaskan bahawa ia bukan dilaksanakan atas tekanan mana-mana pihak.

“Saya rasa tidak perlu kita terlalu membuat andaian dan isi presumption (andaian). Yang pentingnya pelaksanaan DRG ini, kelompok inisiatif yang baru ini, adalah melaksanakan satu inisiatif yang baik yang memerlukan persiapan yang rapi dan pelaksanaan yang kompeten dengan sistem yang akan dapat memberikan hasil dan tujuan mengapa inisiatif ini dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahanTan Kok Wai (PH-Cheras) meminta kementerian menjelaskan mengapa pelaksanaan DRG ditangguhkan dan adakah disebabkan tekanan daripada beberapa pihak berkaitan.

Sebelum ini, Dzulkefly berkata perbincangan mengenai pelaksanaan DRG sedang giat dijalankan bagi meningkatkan ketelusan caj rawatan pesakit sekali gus membantu mengatasi isu kos perubatan yang menjadi antara punca kenaikan premium insurans perubatan.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, pelaksanaan DRG memerlukan usaha membina kapasiti (capacity building) serta penggunaan data yang mencukupi, termasuk data besar (big data) yang dikongsi daripada semua pengamal perubatan di sektor swasta.

“Antaranya kita memerlukan data yang cukup, data menyeluruh yang kita kongsi daripada semua pengamal perubatan swasta. Dan yang pertama tadi adalah untuk kita laksanakan. DRG bukan kerana tekanan siapa-siapa, bukan itu sebabnya,” katanya.

Katanya, pelaksanaan DRG adalah satu langkah strategik yang memerlukan pengurusan rapi terhadap sebarang kesan negatif bagi memastikan sistem kesihatan negara dapat memberikan nilai terbaik kepada pesakit dan masyarakat.

“Apabila kita melaksanakan satu inisiatif yang penting seumur hidup ini, itu mesti dilaksanakan dengan persiapan yang rapi, pelaksanaan yang cermat dengan kita mitigate dan kita urus apapun kesan-kesan yang tidak baik supaya benar-benar ia dapat menghasilkan sebagai satu yang sifatnya value based healthcare system,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN