KANGAR: Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri merangkap Ahli Dewan Negara, Azahar Hassan yang mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta merta kelmarin menyertai parti Wawasan Negara.
Azahar berkata, permohonan menyertai parti diketuai Datuk Seri Hamzah Zainudin itu telah diterima.
“Saya mengambil keputusan menyertai parti Warisan Negara iaitu parti pelbagai kaum yang mampu membawa Malaysia ke arah lebih baik,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Azahar mengisytiharkan keluar Bersatu dan turut melepaskan semua jawatan di dalam parti termasuk Timbalan Ketua Bahagian Kangar.
Bagaimanapun, tugas beliau sebagai Ahli Dewan Negara akan diteruskan demi tanggung jawab kepada rakyat negeri ini.
Kata Azahar, keputusan tersebut dibuat setelah melalui pertimbangan panjang, penelitian sewajarnya serta muhasabah mendalam terhadap perkembangan politik semasa.
“Saya percaya keputusan ini adalah berdasarkan prinsip, pendirian dan pertimbangan peribadi demi meneruskan hala tuju perjuangan yang saya yakini.
“Keputusan ini juga dibuat dengan penuh rasa hormat terhadap parti serta seluruh warga perjuangan Bersatu yang telah bersama-sama melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh penglibatan saya,” katanya.
Sementara itu, Azahar berkata, pergolakan dalaman serta tindakan memecat pemimpin-pemimpin Bersatu sebelum ini menjadi antara punca akar umbi mula hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti berkenaan.
“Disebabkan itu, ramai yang mula keluar parti kerana sudah hilang keyakinan khususnya akar umbi yang cukup kecewa,” katanya.-UTUSAN










