Impian Maghribi terhenti, penyokong tetap bangga

Impian Maghribi terhenti, penyokong tetap bangga

Reaksi penyokong Maghribi selepas pasukan mereka tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Bunyi vuvuzela yang sebelum ini menggegarkan Maghribi akhirnya terhenti apabila wakil tunggal Afrika yang masih bertahan di Piala Dunia 2026 gagal melepasi halangan besar Perancis.

Maghribi yang mempamerkan aksi menyerang menarik pada pusingan terdahulu gagal mengulangi prestasi terbaik mereka apabila tewas 0-2 kepada Perancis dalam aksi suku akhir di Foxborough, Massachusetts.

Bagi penyokong Maghribi, Azirar, 18, kekalahan itu masih sukar diterima selepas menyaksikan perlawanan tersebut dari Rabat.

“Ia adalah perlawanan yang sangat sukar buat Maghribi. Perancis memang layak menang,” katanya.

Harapan penyokong Maghribi terhadap kempen Piala Dunia 2026 begitu tinggi selepas pasukan itu mencipta sejarah empat tahun lalu di Qatar dengan mara ke separuh akhir, dipimpin kapten, Achraf Hakimi dari Paris Saint-Germain.

Namun, pada kejohanan kali ini, mereka sekali lagi tewas 0-2 kepada Perancis.

Dengan tambahan bakat muda berbakat seperti Ayyoub Bouaddi serta kehadiran penyerang berbisa, Ismael Saibari ramai percaya Maghribi mampu mencipta kejutan dengan menyingkirkan Perancis dan kembali melangkah ke separuh akhir.

Seorang lagi penyokong Maghribi, Mustapha Garni berkata, dia berharap pasukan kesayangannya mampu mencipta sejarah sekali lagi.

“Saya benar-benar berharap kami menang dan mara ke separuh akhir, tetapi itulah yang berlaku,” katanya.

Sebelum sepak mula, suasana di ibu negara Maghribi berada pada tahap kemuncak apabila penyokong memenuhi kafe sambil mengibarkan bendera negara serta mengenakan selendang merah dan hijau.

Mereka berdiri menyanyikan lagu kebangsaan dengan penuh semangat, sama seperti dilakukan pemain Maghribi sebelum perlawanan di Amerika Syarikat.

Sorakan gemuruh bergema apabila penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou berjaya menyelamatkan sepakan penalti Mbappe pada minit ke-28.

Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Mbappe membuka jaringan pada minit ke-60 menerusi rembatan lencong yang gagal diselamatkan Bounou.

Suasana di kafe sekitar Rabat berubah sunyi. Ada penyokong yang kelihatan terkejut manakala sebahagian lagi hanya terduduk kecewa.

Sorakan kembali kedengaran selepas itu, tetapi tidak lagi dengan semangat yang sama. Apabila Ousmane Dembele menjaringkan gol kedua Perancis, harapan Maghribi akhirnya terkubur. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN