KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri kepada Kabinet tahun ini bagi mempertimbangkan pengharaman sepenuhnya penggunaan rokok elektronik atau vape di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah itu bertujuan mendapatkan persetujuan dasar daripada kerajaan sebelum pelaksanaan pengharaman penuh dapat direalisasikan.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tarikh jangkaan pembentangan memorandum berkenaan kepada Kabinet.
Katanya, pihaknya berharap cadangan berkenaan akan menerima sokongan semua Ahli Parlimen bagi memastikan masa depan kesihatan golongan muda terus terpelihara.
“KKM amat memahami desakan ibu bapa, media, pemimpin setempat serta Ahli Parlimen yang mahu kerajaan mengambil tindakan tegas mengharamkan vape sepenuhnya.
“Kita pernah berusaha menggubal peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) sebelum ini, namun terdapat pandangan berbeza dalam kalangan Ahli Parlimen berhubung pengharaman total terhadap vape,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN–Tanjong Karang) yang meminta penjelasan mengenai kelewatan KKM sebagai agensi utama kesihatan awam dalam melaksanakan pengharaman penuh rokok elektronik.
Menurut beliau, hasil daripada perbezaan pandangan itu, kerajaan telah memperkenalkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sebagai langkah kawalan komprehensif terhadap produk merokok termasuk vape.
“Melalui Akta 852 ini, KKM akan melaksanakan penguatkuasaan secara lebih tegas dan konsisten bagi mengekang penggunaan produk berisiko tersebut,” katanya. – UTUSAN










