KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan kadar cukai ke atas cecair rokok elektronik atau vape dinaikkan daripada RM0.40 kepada RM4 bagi setiap mililiter bagi menyelaraskannya dengan kadar cukai rokok konvensional.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pertimbangan dan pelaksanaan dalam masa terdekat.
Katanya, langkah penyelarasan itu penting bagi memastikan tiada jurang cukai yang ketara antara produk rokok dan vape yang boleh memberi kesan kepada corak penggunaan nikotin dalam kalangan masyarakat.
“Setakat ini, satu batang rokok bersamaan kira-kira 10 sedutan (puf), manakala satu kotak rokok mengandungi 200 puf.
“Bagi cecair vape pula, satu mililiter cecair bersamaan 100 puf atau dua mililiter bersamaan 200 puf iaitu hampir setara dengan satu kotak rokok.
“Oleh itu, KKM mencadangkan kadar cukai ke atas cecair vape dinaikkan kepada RM4 per mililiter sebagai langkah penyelarasan dan kawalan penggunaan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN–Tasek Gelugor) sama ada kerajaan bercadang menyamakan kadar cukai nikotin antara rokok dan vape serta memperkenalkan harga lantai bagi produk nikotin bagi mengelak perbezaan harga yang terlalu besar antara kedua-dua produk tersebut.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, penguatkuasaan penuh larangan merokok dan vape telah mula dilaksanakan sejak 1 Oktober 2024 selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Beliau berkata, KKM akan mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pelaksanaan larangan itu benar-benar berkesan di lapangan.
Katanya, usaha membendung tabiat merokok dan penggunaan vape memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan peranan kerajaan dan masyarakat bagi memastikan matlamat negara bebas rokok dapat dicapai.
“Namun, keberkesanan undang-undang ini juga bergantung kepada kerjasama masyarakat, termasuk keberanian orang awam untuk menegur mereka yang masih merokok di kawasan larangan.
“Budaya menegur secara berhemah perlu dibiasakan agar masyarakat lebih peka terhadap kepentingan kesihatan awam,” katanya. – UTUSAN










