KUALA LUMPUR: Pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang tempat duduk belakang masih lagi rendah dengan purata peratusan sekitar 10 hingga 15 peratus.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan kerana kes kemalangan maut melibatkan kanak-kanak berada pada tahap serius.
“Jumlah kes kemalangan maut melibatkan kanak-kanak dari Januari hingga September lalu menyaksikan 2,880 kes dengan 714 daripadanya adalah maut, 374 parah dan 1,792 cedera ringan.
“Jumlah kes kemalangan maut tanpa menggunakan tali pinggang keledar melibatkan kanak-kanak dari bulan Januari hingga September pula adalah 156 kes dengan 74 maut, 31 parah dan 51 cedera ringan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai status dan garis masa penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pemandu serta penumpang kenderaan persendirian dan penilaian keberkesanan kempen ‘Klik Sebelum Gerak’.
Anthony berkata, berhubung penilaian keberkesanan kempen ‘Klik Sebelum Gerak’, kajian penilaian dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati tahap pematuhan pemandu dan penumpang hadapan kenderaan persendirian menunjukkan peningkatan melebihi 90 peratus sejak kempen kesedaran bermula pada 11 September lalu. – UTUSAN









