NSFC azam capai keputusan positif 90 minit pertama - Utusan Malaysia

NSFC azam capai keputusan positif 90 minit pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NFSC) akan memanfaatkan sepenuhnya 90 minit permainan pusingan pertama saingan suku akhir Piala FA menentang Selangor FC malam ini untuk mendapatkan keputusan positif.

Dengan sokongan lebih 25,00 penonton yang bakal memenuhi Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, NSFC akan turun padang dengan keazaman untuk mencapai matlamat tersebut.

Ketua jurulatih, Mohd. Nidzam Jamil berkata, pasukan itu telah melangkah jauh dalam saingan piala itu dan perjuangan perlu diteruskan dengan tahap kesungguhan yang tinggi.

“Kami mempunyai masa sebanyak 180 minit dalam saingan Piala FA ini dan kami berazam mencapai keputusan yang positif dalam tempoh 90 minit yang pertama.

“Para pemain telah menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang latihan dengan pegangan tiada lagi keputusan yang dramatik seperti perlawanan liga tempohari,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam perlawanan peringkat liga menentang Selangor FC di Paroi pada 24 Ogos lalu, NSFC telah menumpaskan pasukan itu dengan gol 2-1. Jaringan kemenangan itu diperoleh pada masa tambahan selepas 90 minit perlawanan.

Nada yang sama turut disuarakan pemain import NSFC, Joseph Esso yang menganggap perlawanan tersebut begitu dramatik.

“Perlawanan sungguh menarik dan dramatik. Kami berjaya menjaringkan gol penyamaan dan menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir.

“Ia menggembirakan kami dan semua penyokong tetapi kali ini kami perlu lebih fokus dan mempamerkan yang terbaik tanpa mengharapkan jaringan pada minit akhir,” ujarnya.

Sementara itu, ketua pasukan, Ahmad Khuzaimi Piee berkata, kehadiran penyokong NSFC menyaksikan perlawanan berkenaan akan menjadi tenaga tambahan kepada pasukan memberikan aksi terbaik dalam saingan suku akhir tersebut.

Katanya, kehadiran penyokong menjadi pembakar semangat kepada para pemain beraksi dengan baik dan mencapai keputusan yang positif.

“Suasana dalam pasukan ini kini semakin baik walaupun sebelum ini ada keputusan perlawanan yang tidak kita inginkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN