KUALA NERUS: Hidup segan mati tak mahu. Itu gambaran tepat terhadap nasib pengusaha bot penambang di Seberang Takir yang semakin hari semakin tenat selepas perkhidmatan tradisi itu kian dilupakan masyarakat.
Perkhidmatan yang pernah menjadi nadi pengangkutan utama rakyat Terengganu sejak lebih 60 tahun lalu itu kini hanya beroperasi sekadar untuk meneruskan hidup, biarpun pendapatannya tidak seberapa.
Jika dahulu bot penambang menjadi tumpuan penduduk dan pelancong untuk menyeberangi Sungai Terengganu tetapi keadaan jauh berbeza apabila hanya 11 buah bot masih aktif beroperasi hari ini.
Pengerusi Persatuan Pemandu Bot Penambang Seberang Takir, Muhamad@Mamat Ibrahim, 78 berkata, kebanyakan pengusaha kini terpaksa bertahan walaupun pendapatan merosot saban tahun.
Katanya, kemunculan Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbridge yang menghubungkan Seberang Takir ke pusat bandar menjadi antara punca utama penurunan jumlah penumpang.
Katanya, sejak orang ramai lebih selesa menunggang motosikal atau memandu sendiri ke bandar, khidmat bot penambang tidak lagi menjadi pilihan utama penduduk sekitar.
“Sekarang kalau nak dapat 15 orang penumpang sehari pun sangat susah, kalau dulu boleh sampai 30 atau 40 orang sehari. Hari Sabtu pun sudah tak seramai dulu walaupun cuti sekolah,” katanya ketika ditemui di Jeti Seberang Takir, di sini.
Katanya, ketika zaman kegemilangan sekitar 1970-an, terdapat lebih 60 buah bot penambang beroperasi dengan masing-masing mampu memperoleh pendapatan harian yang lumayan.
Namun kini, bukan sahaja jumlah bot semakin berkurangan malah hanya dua atau tiga buah sahaja bergerak dalam satu masa kerana kekurangan penumpang.
“Dulu masa ramai pelancong, boleh tahan juga pendapatan. Ada boleh mencecah ratusan ringgit sehari tetapi sekarang nak dapatkan RM15 sehari pun sangat susah,” katanya.
Bagi pemandu bot. Saidi Muhammad, 50, industri bot penambang seakan sudah hilang ‘serinya’ dengan 80 peratus sudah menurun dan bukan menjadi pilihan utama pelancong.
Ujarnya, persaingan pilihan daripada penyedia perkhidmatan lain yang menawarkan pengangkutan air yang lebih moden dan selesa.
“Sekarang memang dah hampir 80 peratus penurunan pengguna, cuma mengharapkan musim cuti sekolah untuk dapatkan duit lebih. Tambang yang dikenakan pula masih RM2 sehala, tetapi kalau penumpang pun tak ramai, nak isi minyak pun kadang terpaksa guna duit sendiri,” ujarnya dengan nada kecewa.
Dia urut berharap agar kerajaan negeri dapat memberi perhatian yang sewajarnya terhadap nasib pengusaha bot penambang yang dianggap sebahagian daripada warisan pengangkutan rakyat Terengganu.-UTUSAN










