KUALA LUMPUR: Naratif ekonomi Malaysia telah berubah daripada fasa ketidaktentuan kepada pemulihan dan daripada defensif kepada penstrukturan semula yang proaktif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua itu dalam dua tahun kebelakangan ini dengan menyaksikan pertumbuhan kekal stabil, inflasi terkawal dan kadar pengangguran rendah.
Namun katanya, apa yang mendefinisikan kejayaan bukanlah keselesaan dalam kestabilan, sebaliknya kesediaan negara untuk berdepan gangguan seterusnya.
“Langkah memperkukuh disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus dan menyalurkan perbelanjaan ke bidang strategik seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur digital serta ekonomi hijau telah mengembalikan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.
“Pertumbuhan kekal stabil, inflasi terkawal dan kadar pengangguran rendah. Namun ukuran kejayaan sebenar bukan hanya pada kestabilan, tetapi pada keupayaan kita menghadapi gangguan baharu yang bakal datang,” katanya ketika berucap pada Forum Megatrends Khazanah 2025 (KMF 2025), di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, laluan penyatuan fiskal yang dilaksanakan kini berteraskan tanggungjawab dan keutuhan, bagi memastikan setiap ringgit dibelanjakan dengan tujuan yang jelas dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Keyakinan pelabur akan terus meningkat apabila kerajaan menunjukkan keberanian untuk melaksanakan reformasi, disertai keupayaan untuk berbelanja secara strategik.
“Pertumbuhan modal mesti seiring dengan peluasan sosial berasaskan keadilan, sejajar dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, struktur ekonomi yang lebih inklusif ini memastikan kemakmuran tidak tertumpu kepada segelintir, sebaliknya dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Reformasi ini bukan semata-mata untuk memperkukuh angka makroekonomi, tetapi untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Ekonomi bukan matlamat mutlak, ia alat bagi menjamin maruah dan kebajikan manusia,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pendekatan Malaysia terhadap risiko dan ketidaktentuan global mesti berasaskan tadbir urus yang baik kerana tanpa asas terbabit, risiko hanya akan membuka ruang kepada ketidakbertanggungjawaban.
“Tadbir urus adalah kompas moral sesebuah negara. Ia memastikan kemajuan tidak dicapai dengan mengorbankan prinsip dan memastikan kepimpinan kekal bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, institusi pelaburan strategik seperti Khazanah Nasional perlu terus menjunjung falsafah kepemimpinan beramanah dengan menyeimbangkan keuntungan komersial dan pembangunan negara.
“Khazanah harus menjadi contoh dalam memupuk pertumbuhan yang inklusif dan mampan, sejajar dengan falsafah Madani yang menekankan keadilan sosial dan keseimbangan antara pasaran serta nilai kemanusiaan.
“Ketika dunia berdepan cabaran baharu seperti gangguan teknologi, ketidaktentuan geopolitik dan kebangkitan nasionalisme ekonomi, Malaysia mesti terus menjadi rakan yang boleh dipercayai, berpaksikan kestabilan, tadbir urus yang baik dan keberanian moral,” katanya.-UTUSAN