Nafas baharu Mengemis Kasih - Utusan Malaysia

Nafas baharu Mengemis Kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dunia nasyid tanah air hari ini menyaksikan kemunculan semula Kumpulan legenda, The Zikr menerusi naskhah terbaru, Mengemis Kasih, yang diperdengarkan kepada peminat sejak hujung September lepas.

Lebih istimewa, lagu ini turut menampilkan bekas vokalis Jinbara dan Khalifah, Yabang.

Mengemis Kasih juga menandakan kembalinya Nazrey Johani selepas kali terkahir membuat kemunculan menerusi lagu Laila Majnun, iaitu  kolaborasi bersama kumpulan One Path sekitar tiga tahun lalu.

Kini, Mengemis Kasih yang merupakan ciptaan Nazrey dan Pahrol Mohd. Juoi kini dirakam semula dan ditampilkan mengikut kesesuaian citarasa pendengar semasa.

Nazrey kini bersama Amran Ibrahim (bekas anggota Raihan) bergabung dengan Syamsul Masri, Meor Ahmad Sahid, Afezan Ponijan, Amin Nordin, Hafiedz Samsuri, Syawal  Paino, Suhaimy Raslan dan Rosdi Zaharia yang membentuk The Zikr. 

“Saya bersyukur dapat tampil kembali dalam industri bersama rakan-rakan The Zikr. Lagu ini diberi susunan muzik baharu supaya lebih segar dan penuh harmoni. 

“Sentuhan moden yang dibawakan dalam lagu ini tidak menghilangkan roh ketuhanannya. Selain itu, penampilan istimewa Yabang turut mengindahkan lagi lagu ini,” kata Nazrey.

Sementara itu, Syamsul Masri berkata, lagu-lagu The Zikr masih diminati sehingga kini terutamanya dalam kalangan peminat di Thailand dan Indonesia. 

“Lagu Antara 2 Cinta sangat popular di Indonesia. Kita tahu sejak beberapa tahun lalu Nazrey tidak lagi bersama Raihan. Selepas itu saya jumpa dia dan kumpul balik anggota The Zikr. 

“Dan akhirnya kami bergabung semula pada 2023. Antara 2023 hingga 2025 kami menghasilkan dua single iaitu Antara 2 Cinta (2024), Dunia Baru Islam (2024) dan satu single baru bertajuk Kembali pada Mei lalu. 

“Mengemis Kasih adalah single terbaharu kami. Kita buat balik The Zikr sebab lagu-lagunya orang masih dengar sampai sekarang,” katanya. 

Mengemis Kasih dilancarkan pada 26 September 2025 melalui saluran YouTube rasmi Rusa Islamic, hasil kerjasama antara Smart Audio Music dan Rusa Islamic.

Dalam pada itu, The Zikr juga bakal mengadakan konsert eksklusif pada Januari 2026. 

Pengurusan Nazrey Johani dan The Zikr, Mas Ayie Mas Omar berkata, konsert tersebut bakal mengembalikan nostalgia buat peminat nasyid tanah air. 

“Konsert ini juga akan diserikan oleh artis undangan yang akan diumumkan nanti,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN