PETALING JAYA: Ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4.04 hingga RM4.07 minggu hadapan walaupun pasaran diasak kebimbangan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang lebih agresif dalam menangani pelbagai krisis geopolitik global.
Ia susulan tindakan Presiden AS, Donald Trump menarik balik semua sumbangan negara itu kepada 66 badan utama dunia yang berkaitan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Semalam, ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada 4.0650/4.0710 berbanding 4.0570/4.0630 pada Khamis lalu, sebelum ditutup rendah pada 4.0700/0780.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pergerakan ringgit dipengaruhi secara signifikan oleh turun naik nilai mata wang AS, seperti yang ditunjukkan dalam carta Indeks Dolar AS (DXY), yang mengukur kekuatan dolar AS berbanding enam mata wang utama dunia
“Dalam tempoh serangan kerajaan AS yang menculik Presiden Venezuela, dolar AS meningkat 0.62 peratus mengikut indek DXY, menunjukkan kebimbangan dunia dengan tindak tanduk pentadbiran Trump.
“Tambahan lagi laporan data statistik AS yang terbaharu juga menunujukkan ekonominya stabil dan memberikan petunjuk bahawa pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS bagi menyuntik ekonomi yang dikatakan lemah, tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat ini.
“Oleh itu, aktiviti di Amerika Selatan tersebut menyebabkan para pengurus dana beralih kepada pegangan dolar AS, begitu juga pengekalan kadar faedah oleh Fed menyebabkan pengurus dana terus berpegang kepada bon2 terbitan kerajaan AS,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, ini juga diperlihatkan dengan ketidaktentuan pasaran ekuiti diseluruh dunia termasuk Bursa Malaysia, iaitu kesan tindakan AS, kuasa ekonomi terbesar dunia.
“Berikutan peristiwa tersebut, harga emas terus mendaki 3.24 peratus dalam tempoh lima hari, menunjukkan kebimbangan para pengurus dana untuk memindahkan pelaburan mereka kepada aset yang selamat iaitu emas,” katanya
Sementara itu, Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, sekiranya tiada kejutan makroekonomi besar dari AS atau Asia, mata wang tempatan berkemungkinan kekal stabil atau sedikit mengukuh berbanding dolar AS serta mata wang utama lain menjelang hujung minggu ini.
“Bagaimanapun, ringgit berpotensi melemah sementara sekiranya data ekonomi AS mencatat kejutan positif atau spekulasi dasar monetari Fed AS berubah ke arah lebih hawkish.
“Dari segi implikasi, pengukuhan ringgit memberi kelebihan kepada kuasa beli import dan membantu menurunkan kos bahan mentah, namun boleh memberi sedikit tekanan kepada daya saing eksport dalam jangka pendek.
“Ramai peniaga FX kini lihat julat ringgit berbanding dolar AS dalam sekitar RM4.08 hingga RM4.12 sebagai kawasan bergerak jangka pendek, bergantung kepada berita fundamental dan aktiviti aliran modal,” ujarnya.
MARC Ratings pula menjangkakan ringgit meneruskan momentum pengukuhannya dan berpotensi mencecah paras sekitar RM3.93 berbanding dolar AS menjelang pertengahan 2026 disokong faktor domestik dan luaran yang semakin memihak kepada Malaysia.
Agensi penarafan itu berkata, aliran masuk portfolio asing yang berterusan, kadar inflasi yang kekal terkawal serta jurang hasil antara Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Perbendaharaan AS (UST) yang semakin memihak kepada Malaysia akan menjadi pemacu utama kepada prestasi ringgit.
“Selain itu, sentimen luaran yang semakin kukuh dijangka menyokong lebihan dagangan negara, sekali gus memberikan sokongan tambahan kepada mata wang tempatan,” katanya. –UTUSAN











