SEREMBAN: Kementerian Pendidikan mengesahkan insiden seorang murid lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah rendah di daerah ini hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bagaimanapun berkata, pihaknya memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.
Ia bagi menjaga emosi keluarga, selain menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan penuh.
Menurutnya, pihaknya akan memberikan perhatian penuh kepada proses psikososial dan sokongan emosi kepada warga sekolah iaitu pelajar serta guru yang akan dilaksanakan sepenuhnya bermula esok.
“Jadi, mulai esok, proses intervensi ini akan dilaksanakan secara penuh oleh semua kaunselor kami (KPM) di peringkat Negeri Sembilan untuk turun membuat intervensi psikososial di peringkat sekolah.
“Kami juga mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan khususnya pusat kesihatan mental untuk melaksanakan intervensi ini secara berterusan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Taman Tuanku Jaafar di Senawang, di sini, malam ini.
Fadhlina sebelum itu turut menziarah keluarga murid berkenaan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau dan difahamkan proses bedah siasat akan dijalankan esok.
Beliau berkata, KPM akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang dilaksanakan oleh pihak polis.
Katanya, pihak sekolah juga sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa sejurus kejadian tersebut berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, murid itu ditemukan tidak sedarkan diri di tandas lelaki sekolah berkenaan pada waktu tengah hari.
Katanya, pihak polis menerima maklumat kira-kira pukul 1.19 petang mengenai kematian mangsa yang disahkan doktor ketika menerima rawatan di sebuah klinik.
“Mangsa dibawa ke pusat rawatan tersebut oleh guru disiplin namun doktor yang merawat mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tandas sekolah sebelum dihantar ke klinik berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan. – UTUSAN










