Mural jadi tanda solidariti Palestin - Utusan Malaysia

Mural jadi tanda solidariti Palestin

HATTA Hashim menyiapkan mural simbolik solidariti Palestin di rumah Che Suhana Che Ibrahim di Batu Buruk, Kuala Terengganu. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Menyahut semangat perjuangan rakyat Pa­lestin, seorang wanita dari Batu Buruk di sini mengambil inisiatif menzahirkan solidariti terhadap penderitaan penduduk Gaza me­lalui hasil seni mural yang dilukis pada pagar kediamannya.

Che Suhana Che Ibrahim, 43, yang juga Pengarah Eksekutif Sabasun Hypermarket Sdn. Bhd. berkata, dia mengupah pelukis mural tempatan bagi menghasilkan karya seni bertemakan perjuangan rakyat Palestin sebagai simbol sokongan terhadap saudara seagama yang ditindas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Katanya, mural berkenaan memaparkan imej simbolik bendera Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang menjadi lambang kekuatan serta keteguhan rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak mereka sejak sekian lama.

“Saya pilih mural ini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus dizalimi. Masjid Al-Aqsa bukan sahaja lambang kiblat pertama umat Islam, malah perjuangan mempertahankannya adalah tanggungjawab seluruh umat Islam.

“Malah isu Palestin ini begitu dekat dihati arwah abang saya, Che Salmi yang meninggal tahun lalu. Selepas ini, saya merancang menghasilkan satu lagi mural bertemakan Palestin di Sabasun Bukit Kecil dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Che Suhana berkata, syarikatnya telah melaksanakan kempen memboikot produk berkaitan Israel sejak 2012 secara berperingkat dan komited menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Sejak boikot besar-besaran bermula Mac tahun lepas, sokongan daripada pelanggan tetap menggalakkan. Bantuan terbaru dihantar pada Julai lalu merangkumi keperluan makanan dan ubat-ubatan,” katanya.

Sementara itu, mural itu mengambil masa lima hari untuk disiapkan oleh pelukis berpengalaman, Hatta Hashim yang bergiat dalam bidang seni mural selama enam tahun.

Lukisan itu menggunakan cat dinding berasaskan air bagi memastikan ketahanan serta kualiti lukisan.

Hatta berkata, penghasilan itu adalah sumbangan kecilnya dalam menyampaikan mesej kemanusiaan kepada masyarakat.

“Kita mungkin tidak mampu membantu secara fizikal tetapi melalui seni ini saya mahu sampaikan mesej bahawa rakyat Malaysia tidak pernah melupakan penderitaan saudara kita di Palestin. Ini bukan sekadar isu agama, tetapi isu kemanusiaan yang perlu disedari semua pihak.

“Apabila mesej sampai melalui seni, ia terus ke hati. Mural seperti ini adalah bentuk solida­riti yang hidup dan dekat dengan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN