Muhammad Sanusi tarik balik kenyataan fitnah terhadap Anwar

Sanusi tarik balik kenyataan fitnah terhadap Anwar

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuatnya tiga tahun lalu.

Dalam kenyataan bersama, Muhammad Sanusi secara terbuka, suci hati dan tanpa syarat menarik balik kenyataan dibuatnya terhadap Anwar pada 13 November 2022.

Muhammad Sanusi juga beriltizam tidak mengulangi mana-mana perkataan yang menjadi asas dalam tindakan guaman tersebut.

Tindakan itu dibuat susulan kedua-dua pemimpin mengambil langkah untuk menamatkan pertikaian peribadi secara muktamad.

Persetujuan itu dicapai setelah kedua-dua pihak mempertimbangkan kesan daripada tindakan saman fitnah dan kos perundangan yang bakal ditanggung.

Mereka bersetuju bahawa terdapat banyak isu yang lebih besar dan penting yang perlu diberi perhatian demi kepentingan negara.

“Bagi mengelakkan kekeliruan daripada prosiding tersebut, penyelesaian berkenaan juga dibuat sebagai usaha kedua-dua pihak untuk menjernihkan keadaan serta mengekalkan hubungan yang baik dan berhemah,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Anwar menghargai usaha murni berkenaan dan bersetuju untuk menarik semula kes terhadap Muhammad Sanusi tanpa perintah mengenai kos dan kebebasan untuk memfailkan semula saman.

Anwar dan Muhammad Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada Hakim Dr. John Lee Kien How@Mohamad Johan Lee kerana tanpa usaha mediasinya, penyelesaian ini tidak mungkin berlaku.

Katanya, penghargaan juga diberikan kepada pegawai mahkamah yang terlibat atas profesionalisme dan budi bicara dalam mengendalikan kes tersebut.

Kedua-dua pihak berharap penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak serta tidak dijadikan bahan untuk mengganggu-gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian Malaysia.

Pada 16 November 2022, Anwar menuntut permohonan maaf daripada Muhammad Sanusi berhubung ucapan yang didakwa mempunyai unsur fitnah ketika program Jelajah Perikatan Nasional (PN) Best Tambun.

Anwar memberi tempoh selama tiga hari dari tarikh penerimaan notis untuk Muhammad Sanusi menjawab dan sekiranya gagal, tuntutan ganti rugi sebanyak RM10 juta akan diteruskan terhadapnya.

Bagaimanapun, Sanusi berkata, tidak akan membuat permohonan maaf dan bersedia sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengemukakan saman terhadap dirinya di mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN