Misi kemanusiaan diteruskan walau berdepan ancaman 

Misi kemanusiaan diteruskan walau berdepan ancaman 

MUHAMMAD Abdullah dan Mohd. Asmawi Mukhtar bersalaman dengan orang ramai selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: “Kalau kita berhenti bercakap tentang Palestin, bermakna kita beri kemenangan kepada musuh.”

Itu semangat dipegang dua aktivis kemanusiaan, Muhammad Abdullah, 32, atau lebih dikenali dengan Ustaz Mad Kecik dan Mohd. Asmawi Mukhtar, 52, yang selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, hari ini.

Suasana hiba menyelubungi LTSM apabila dua aktivis kemanusiaan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) itu tiba di Terengganu sekitar pukul 2.30 petang.

Walaupun disambut lebih seribu penyokong dan keluarga yang mengibarkan bendera Palestin, kedua-duanya mengakui fikiran mereka masih ‘tertinggal’ di bumi Gaza mengenangkan sembilan rakan aktivis Malaysia yang masih ditahan rejim Zionis.

Muhammad yang menaiki kapal Fair Lady berkata, pengalaman ditahan tentera Israel tidak mematahkan semangat mereka untuk terus memperjuang hak rakyat Palestin.

“Kami mohon rakyat jangan berhenti berdoa. Doa itu senjata terakhir untuk menyelamatkan mereka. Kalau kita berhenti bercakap tentang Palestin, seolah-olah kita beri kemenangan kepada musuh,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, usaha membawa masuk bantuan ke Gaza diteruskan melalui misi baharu yang dirancang menggunakan laluan darat.

“Insya-Allah kalau diberi kekuatan, kami cuba masuk ke bumi Gaza melalui Rafah. Pihak Sumud Nusantara juga sedang berbincang dengan Perdana Menteri untuk mendapatkan kebenaran. Selepas perjanjian damai yang diumumkan, peluang untuk masuk ke Gaza kali ini nampak lebih cerah,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd Asmawi yang menaiki kapal Estrella berkongsi pengalaman getir sepanjang pelayaran apabila kapal mereka dihalang dan ditahan secara agresif oleh tentera Israel.

“Kami benar-benar diuji dari segi mental dan fizikal, tetapi semangat Ustaz Mad jadi kekuatan saya. Beliau tak pernah berhenti berdoa dan menyuntik semangat supaya kami terus tabah,” katanya.

Beliau menegaskan, misi kemanusiaan itu tidak akan berhenti selagi Palestin belum dibebaskan sepenuhnya daripada kekejaman Zionis.

“Misi ini akan diteruskan walau nyawa menjadi taruhan. Ini perjuangan kemanusiaan, bukan politik,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN