Melindungi rakyat hadapi cabaran ekonomi global

Melindungi rakyat hadapi cabaran ekonomi global

Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua dari kiri), Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Bangunan Parlimen, semalam. -UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 disifatkan sebagai pelengkap bagi melindungi rakyat menghadapi cabaran ekonomi global dan pelaburan jangka panjang demi membina masa depan negara yang lebih mampan, berdaya tahan serta makmur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Belanjawan 2026 juga dilihat bakal menjadi pemangkin untuk merancakkan pembangunan luar bandar, memperkasa pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), mengangkat bumiputera dalam pelbagai aspek

Selain itu katanya, pembentangan Belanjawan 2026 menunjukkan Kerajaan Madani mengutamakan tanggungjawab fiskal yang berhemat, seiring dengan keprihatinan terhadap rakyat.

“Alhamdulillah, peruntukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk tahun 2026 berjumlah RM12.4 bilion, meningkat sebanyak RM0.44 bilion atau 3.69 peratus berbanding tahun 2025.

“Daripada jumlah ini, RM4.61 bilion diperuntukkan bagi mengurus, manakala RM7.78 bilion diperuntukkan bagi pembangunan manakala sebanyak RM3.3 bilion daripadanya dikhususkan untuk jaringan prasarana luar bandar meliputi projek jalan luar banda sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup dan memperkukuh kemudahan asas masyarakat desa,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan dalam masa yang sama komited untuk memastikan Malaysia terus maju dalam sistem sokongan sosial yang menyeluruh dan daya saing berterusan di peringkat global.

Katanya, ini dapat dilihat menerusi peruntukan dalam bidang TVET yang meningkat kepada RM7.9 bilion berban­ding RM7.5 bilion.

Malah katanya, pembangunan Taman Industri Halal Perak (PHIP) di Manjung yang akan diteruskan, dijangka menarik pelaburan besar dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

Ahmad Zahid berkata, dengan peruntukan sebanyak RM460 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), ia dapat memastikan usaha menangani impak bencana alam secara menyeluruh melalui pendekatan pencegahan, kesiapsiagaan dan pemulihan dilaksanakan lebih berkesan.

“Sebagai langkah pencegahan banjir jangka panjang, kerajaan memperuntukkan RM2.2 bili­on bagi meneruskan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi, termasuk 12 projek baharu yang akan di­mulakan tahun hadapan.

“RM380 juta pula disediakan untuk kerja pengawalan hakisan pantai di Pantai Rusila (Terengganu), Pantai Leman (Kedah) dan Pantai Teluk Kemang (Ne­geri Sembilan),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN