MBSB Bank sedia kemudahan pembiayaan Islam RM1.3b kepada Weststar - Utusan Malaysia

MBSB Bank sedia kemudahan pembiayaan Islam RM1.3b kepada Weststar

KETUA Pegawai Kumpulan Eksekutif MBSB Group, Rafe Haneef (tiga dari kanan) dan Pengarah The Weststar Group, Syed Muhammad Azni Syed Azman (tiga dari kiri) bergambar bersama Wan Kamaruzaman Wan Ahmad (dua dari kanan) dan Syed Azman Syed Ibrahim (dua dari kiri) pada majlis menandatangani MoU antara MBSB dan Weststar Aviation Services di AIROD, Jalan Lapangan Terbang Subang di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: MBSB Berhad (MBSB) memeterai Kemudahan Pembiayaan Islam Bersindiket berjumlah RM1.3 bilion melalui Memorandum Persefahaman (MoU) kepada The Weststar Group (Weststar) bagi memacu pertumbuhan industri penerbangan Malaysia.

Pengerusi MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, MBSB telah memperuntukkan sebanyak RM5.7 bilion secara keseluruhan bagi sektor pengangkutan, termasuk aeroangkasa sebagai salah satu pemacu pertumbuhan bank itu. 

Ujarnya, langkah itu adalah bagi menyokong pengembangan operasi anak syarikat Weststar iaitu Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. (WASSB) dalam sektor penerbangan termasuk pembelian helikopter sebanyak 28 buah, modal kerja serta pengurusan risiko tukaran asing.

“Pembiayaan bersindiket Islam itu juga turut akan disertai oleh empat bank tempatan yang lain.

“Kerjasama itu adalah cerminan komitmen untuk memperkasa industri berimpak tinggi dan berorientasikan masa depan industri yang mencipta nilai jangka panjang untuk negara.

“Penerbangan, khususnya, adalah salah satu daripadanya yang merupakan pemangkin pertumbuhan, menghubungkan Malaysia dengan dunia serta membuka peluang, mendorong inovasi dan memacu kemajuan merentas sempadan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara MBSB dan Weststar di sini, semalam. 

Beliau berkata, aeroangkasa dan penerbangan bukan lagi sektor bidang khusus (niche), tetapi pemacu pertumbuhan yang menghubungkan Malaysia dengan rantaian bekalan global, koridor tenaga dan industri masa hadapan.

“Dengan membiayai pengembangan Weststar, MBSB sedang melabur dalam daya saing Malaysia, meletakkan negara di barisan hadapan dalam sektor penting bagi ekonomi masa depan,” ujarnya. 

Kerjasama itu turut menetapkan rangka kerja strategik untuk membuka peluang dalam penyelesaian pembiayaan, usaha pelaburan serta struktur kewangan inovatif yang direka bagi menyokong pertumbuhan Weststar merentasi semua industri.

Selain MBSB, empat bank tempatan lain yang terbabit dalam pembiayaan bersindiket adalah Maybank, AmBank, Bank Rakyat dan Bank Pembangunan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim berkata, MoU itu menyediakan rangka kerja strategik kukuh untuk membuka peluang baharu, disokong oleh penyelesaian kewangan inovatif yang kritikal bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang.

“Dengan memanfaatkan kerjasama ini, kami menyasarkan untuk mempercepat pengembangan di peringkat tempatan dan global, meningkatkan daya tahan operasi serta terus menyumbang kepada daya saing Malaysia di pentas serantau. 

“Bersama MBSB, kami yakin dapat membina nilai mampan untuk semua pemegang kepentingan, menyokong keutamaan negara serta meletakkan Weststar sebagai pemacu utama industri masa depan,” katanya. 

Beliau berkata, kekuatan Weststar terletak pada kemampuan untuk berinovasi, mempelbagaikan serta menyesuaikan diri dengan tuntutan ekonomi global yang sentiasa berubah. 

“Walaupun penerbangan kekal sebagai teras, kami telah berkembang ke pelbagai industri sambil mengekalkan kedudukan sebagai peneraju serantau dalam perkhidmatan helikopter,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×