Mayat pemancing jatuh laut ditemukan 100 meter dari tebing

Mayat pemancing jatuh laut ditemukan 100 meter dari tebing

Anggota bomba mengangkat mayat lelaki yang lemas dalam kejadian bot karam di Kampung Tebing Runtuh, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Mayat seorang lelaki yang lemas ketika memancing bersama rakan di Kampung Tebing Runtuh di sini pagi semalam, ditemui pada pukul 12.55 tengah hari tadi.

Mayat mangsa, Alpaizar Abd Mois, 43, ditemukan kira-kira 100 meter dari tebing. Mangsa lemas selepas bot dinaiki bersama rakannya, karam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I Mahdzir Mahmud berkata, mayat lelaki itu ditemukan selepas operasi dan menyelamat (SAR) disambung pada hari ini.

“Mayat pemancing itu ditemui selepas bomba melakukan teknik surface searching di kawasan pesisiran tebing dan di bawah rumah rakit.

“Pihak bomba kemudian menaikkan mayat ke dalam bot sebelum dibawa ke darat pada pukul 1.13 petang,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, akhbar melaporkan, Alpaizar, seorang pemandu lori pergi memancing bersama rakannya di perairan tersebut sekitar pukul 8.30 pagi semalam.

Kemudian sauh bot fiber mereka tersangkut semasa mengubah haluan sebelum terbalik dan karam.

Rakan mangsa, berusia 43 tahun, diselamatkan orang awam manakala Alpaizar hilang sejak semalam sebelum ditemukan lemas hari ini.

Mahdzir berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi SAR itu melibatkan 12 anggota bomba dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah lori Hicom. Operasi turut melibatkan empat anggota polis, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dua tentera dan tiga polis marin.

Operasi berkenaan selesai pada pukul 2.21 petang tadi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN