PETALING JAYA: Situasi banjir di tiga negeri menunjukkan peningkatan dengan seramai 4,561 mangsa daripada 1,480 keluarga dilaporkan terjejas, setakat pukul 5.30 petang tadi.
Menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Di Kedah, lapan PPS dibuka bagi menempatkan 349 keluarga dengan jumlah keseluruhan 1,091 orang di dua daerah termasuk Kulim dan Kuala Muda.
Di Pulau Pinang, tiga daerah terjejas melibatkan 830 mangsa daripada 229 keluarga di Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Barat Daya.
Perak pula merekodkan jumlah tertinggi dengan 2,640 mangsa daripada 902 keluarga masih berlindung di 24 PPS di empat daerah iaitu Larut Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah serta Kerian.-UTUSAN










