KUALA TERENGGANU: Kasih seorang ibu terhadap anak sulung yang dilahirkan dengan cerebral palsy (CP) menjadi pencetus kepada penubuhan Rumah Kebajikan Anak Permata Syurga (APS) di Kampung Gelugor Kedai, di sini, yang kini menjadi tempat berteduh dan berkongsi harapan buat keluarga yang mempunyai anak istimewa.
Bermula dengan penjagaan secara percuma di rumah sendiri selama empat tahun menggunakan wang peribadi, rumah kebajikan itu kemudian didaftarkan secara rasmi di bawah Persatuan Anak Permata Syurga pada 2019 bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan dan terapi kepada kanak-kanak CP.
Pengerusinya, Azita Mohamad, 52, berkata pengalaman membesarkan anak sulungnya, Mohd. Amirullah Mazlan, 29, yang menghidap CP membuka matanya mengenai kesukaran ibu bapa mendapatkan pusat jagaan khusus untuk anak istimewa.
Katanya, ketika mencari pusat jagaan sesuai untuk anaknya, beliau hanya menemui sebuah pusat yang diusahakan oleh bukan Islam sebelum timbul persoalan mengapa masih kurang pusat seumpama itu diwujudkan oleh orang Islam.
“Saya sendiri melalui pengalaman menjaga anak istimewa dan tahu betapa sukarnya apabila tiada tempat yang sesuai untuk menghantar mereka.
“Daripada situ saya terfikir mengapa tiada orang Islam yang membuka pusat jagaan khusus untuk anak-anak cerebral palsy,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Operasi rumah kebajikan itu bergantung kepada sumbangan orang ramai, bantuan tahunan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM) serta sokongan pelbagai pihak.
APS kini mempunyai sembilan penghuni harian selain kira-kira 125 ahli berdaftar di bawah persatuan, manakala hampir 40 anak istimewa mengikuti sesi terapi bersama tenaga bertauliah.
Kos operasi mencecah RM5,000 sebulan termasuk gaji tiga kakitangan tetap, namun hanya tiga penghuni membayar yuran penuh RM400 sebulan kerana kebanyakan keluarga tidak berkemampuan.
Sementara itu, Saripah Arabiah Che Embong, 65, berkata, dia dan suaminya, Alazemi Ibrahim, 68, menjaga cucu mereka, Ahmad Benyamin Abdullah, 13, sejak bayi selepas disahkan menghidap hydrocephalus, spina bifida dan CP.
Katanya, meskipun menerima bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), perbelanjaan untuk membeli ubat, merawat luka serta keperluan harian cucunya tetap tinggi. – UTUSAN










