POKOK SENA: Bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini menurun kepada 91 orang daripada 26 keluarga sehingga pukul 6 petang ini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, jumlah itu berbanding 200 orang yang dipindahkan sejak semalam disebabkan kediaman mereka dilanda bah.
Katanya, kebanyakan mangsa dari Kampung Temusu dan Kampung Pulau Nyor di Mukim Tualang dan Derang sudah mula membersihkan rumah masing-masing.
“Setakat ini, mereka yang masih berlindung di PPS Dewan Serbaguna merupakan mangsa dari Taman Puteri dan Kampung Sungai Durian dalam Mukim Gajah Mati, di sini.
“APM bersama semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis kekal dalam keadaan bersiap sedia terutama di 119 hotspot banjir di seluruh negeri ini,” katanya di sini, hari ini.
Beliau turut menasihatkan mangsa banjir agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan memastikan keselamatan ahli keluarga terutama anak-anak kecil. – UTUSAN










