Malaysia terus jadi tumpuan pelajar antarabangsa

Malaysia terus jadi tumpuan pelajar antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Malaysia terus unggul sebagai hab Pendidikan tinggi di rantau ini sehingga mampu menarik seramai 155,000 pelajar antarabangsa dari 160 buah negara melanjutkan pelajaran di peringkat pasca siwazah setakat ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia menjadi destinasi utama pelajar antarabangsa
dari segi kualiti pendidikan di negara ini dan keyakinan daripada negara-negara yang berada di luar sana.

Menurutnya, selain itu perkembangan geopolitik dunia yang berlaku hari ini ini yang melihat Malaysia sebagai sebuah negeri yang aman mendorong peningkatan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan seramai 250,000 pelajar antarabangsa yang akan melanjutkan pelajaran di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menjelang 2030.

“Mereka memilih beberapa negara yang mempunyai nilai kualiti pendidikan yang tinggi dan Malaysia adalah salah satu negara yang dipilih.

“Sebab itulah kita dapat melihat bagaimana saban tahun akan ada pertambahan permohonan untuk mereka belajar di negara kita.

“Ini tidak bermakna bahawa kita mengorbankan kualiti pendidikan anak tempatan kerana kehadiran pelajar dari luar dan mereka datang untuk belajar ke negara kita kerana mereka yakin dengan kualiti pendidikan kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Program Meet and Greet with International Students in Malaysia 2025 (MAGNET 2025) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Banda Hilir di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Azlinda Azman dan Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin.

Seramai 1,000 pelajar antarabangsa dari 20 Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menyertai program tersebut di sini.

Mengulas lanjut Zambry menegaskan, kemasukan ramai pelajar antarabangsa memilih Malaysia tidak bermakna kuota kemasukan pelajar tempatan ke IPTA akan dikorbankan.

Tegasnya, kerajaan tidak akan berganjak dengan dasar pelajar tempatan diberi keutamaan walaupun saban tahun kemasukan pelajar antarabangsa terus meningkat sama ada di IPTS atau IPTA.

“Jadi saya nak sebutkan di sini, sehingga kini kita dapat pulangan yang baik dari bentuk Pelancongan Pendidikan (edutourism) kepada negara dan kita akan terus memastikan supaya kualiti pendidikan negara akan sentiasa terpelihara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN