PETALING JAYA: Hubungan ekonomi antara Malaysia dan Pakistan terus diperkukuh dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dan Small and Medium Enterprise Development Authority (SMEDA).
Ia merupakan antara hasil lawatan rasmi Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif ke Malaysia dari 5 hingga 7 Oktober lalu.
Majlis pertukaran MoU tersebut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Pakistan, menandakan komitmen kukuh kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama strategik dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi bersama.
Pertukaran MoU berkenaan dilakukan antara Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy dan Pembantu Khas kepada Perdana Menteri Pakistan bagi Hal Ehwal Luar Negeri, Syed Tariq Fatemi.
Melalui MoU ini, satu rangka kerja asas diwujudkan bagi mengukuhkan hubungan dua hala, mempercepat pembangunan PKS serta memperluas kerjasama dalam bidang pendigitalan, kelestarian dan akses pasaran.
Kerjasama tersebut juga memberi tumpuan kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik untuk mewujudkan persekitaran lebih kondusif yang dapat mempertingkat daya saing PKS kedua-dua negara.
Pemeteraian ini turut membuka potensi pertumbuhan baharu bagi sektor PKS Malaysia dan Pakistan, khususnya dalam bidang makanan dan minuman halal, produk pengguna, pemprosesan tani, pakaian sopan (modest wear) serta teknologi bersih (clean technology).
Malaysia yang memiliki kekuatan dalam pensijilan halal dan inovasi digital diyakini dapat membantu memperkukuh daya saing PKS di pasaran antarabangsa, termasuk menembusi pasaran Pakistan yang besar dan pesat berkembang.
“Kami melihat potensi besar untuk PKS Malaysia ke pasaran Pakistan, termasuk dalam bidang pakaian sopan (modest wear) berjenama, perkhidmatan platform, pendidikan kanak-kanak, pertanian lestari dan penyelesaian penjagaan kesihatan yang diterajui PKS,” katanya.
MoU ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama ekonomi, malah menandakan keazaman kedua-dua negara untuk memajukan sektor PKS sebagai komponen penting dalam hubungan diplomatik dan perdagangan dua hala.
SME Corp. Malaysia dalam kenyataannya menegaskan komitmen untuk terus memperkasa sektor PKS melalui penyelarasan strategik dan sokongan perniagaan bersepadu, yang kini diperluas melalui kerjasama antarabangsa bersama SMEDA, Pakistan. – UTUSAN










