KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan terus memperkukuhkan usaha mendidik anak-anak asnaf sebagai jalan untuk mereka keluar daripada kemiskinan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, fokus utama MAIWP bukan sekadar membantu pelajar asnaf melanjutkan pengajian tetapi memastikan mereka memperoleh peluang sebenar untuk mengubah masa depan keluarga.
“MAIWP percaya bahawa hanya melalui pendidikan, anak-anak asnaf dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Kami mahu mereka bukan sekadar berjaya dalam akademik, tetapi juga kaya dengan nilai, adab dan akhlak,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan Madani MAIWP, di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut beliau, ribuan pelajar asnaf di bawah inisiatif pendidikan MAIWP menerima pelbagai bentuk bantuan setiap tahun.
Ia termasuk kemudahan peranti, sokongan kewangan dan insentif akademik bagi memastikan mereka dapat belajar tanpa beban
“Usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen MAIWP membina ekosistem pendidikan bersepadu bermula dari peringkat taska hingga ke universiti bagi memastikan kesinambungan sokongan kepada anak-anak asnaf,” katanya.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada pembayar zakat yang menjadi tonggak utama kepada kejayaan program pendidikan MAIWP.
“Inilah hasil daripada tanggungjawab zakat mereka. Anak-anak asnaf ini kelak bukan lagi penerima, tetapi pembayar zakat pada masa depan,” katanya. – UTUSAN










