Mahadi tunggu kepulangan Heliza - Utusan Malaysia

Mahadi tunggu kepulangan Heliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suami Heliza Helmi iaitu Datuk Mahadi Badrul Zaman menyakini isterinya dan semua peserta Global Sumud Flotilla dari Malaysia akan pulang ke tanah air dengan selamat.

Malah, beliau juga percaya rejim zionis tidak akan sewenang-wenangnya bertindak agresif terhadap peserta misi kemanusiaan itu kerana enggan membangkitkan kemarahan dunia.

“Kita semua tahu rejim zionis bertopengkan syaitan dan terkenal dengan kekejaman mereka.

“Tetapi saya percaya isteri saya dan peserta Global Sumud Flotilla yang lain tidak akan diapa-apakan kerana misi ini membabitkan peserta dari banyak negara.

“Heliza pun sudah beberapa kali mengikuti misi kemanusiaan ke Palestin, jadi saya pasti dia tahu selok belok di sana.

“Apa pun saya yakin mereka akan kembali dengan selamat, insya-Allah. Kita doakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Heliza dan adiknya, Hazwani disahkan antara peserta dari Malaysia yang ditahan susulan penawanan tentera Israel ke atas bot yang dinaiki mereka untuk menghantar bantuan ke Gaza.

Mahadi dalam pada itu memaklumkan kali terakhir beliau berhubung dengan isterinya sekitar pukul 7 pagi semalam waktu tempatan.

“Heliza ini dari semasa ke semasa selalu memaklumkan tentang keadaannya di sana. Itu bagusnya dia.

“Walaupun kurang bersiaran langsung di media sosial, dengan keluarga, dia selalu berhubung. Setiap tiga atau empat jam dia akan hantar pesanan suara dan video. 

“Namun kami terputus hubungan sekitar pukul 7.30 pagi semalam apabila dia tidak lagi memberi respons terhadap pesanan WhatsApp yang saya hantarkan kepadanya. 

“Malah saya hanya mendapat tahu yang dia dan peserta lain ditahan tentera Israel melalui laporan berita,” katanya lagi.

Sementara itu, Mahadi berharap dalam masa terdekat menerima maklumat mengenai perkembangan  terkini isterinya dan peserta Global Sumud Flotilla yang ditahan zionis.

“Sebenarnya, WhatsApp berkumpulan keluarga peserta misi yang menaiki bot Hio telah diwujudkan untuk kami mengikuti perkembangan mereka sepanjang pelayaran ke Gaza. 

“Salah seorang peserta yang juga kapten bot berkenaan sebelum ini sentiasa berkongsi perkembangan mereka menerusi plaform itu dari semasa ke semasa. Saya harap tidak lama lagi saya terima berita dari mereka di sana.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak Sumud Nusantara dan Mapim yang menyediakan tempat tinggal untuk membolehkan ahli keluarga berada berdekatan pusat kawalan di Sepang bagi mengikuti taklimat dan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” kongsinya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN