BESUT: Lokasi kejadian kebocoran paip gas di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, di Kerteh, Kemaman,cekat sini masih ditutup.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, penutupan itu bagi membolehkan siasatan dan analisis punca-punca kebocoran dapat dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu.
“Pada masa sama saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kemaman, kerja-kerja pembaikian paip juga sedang dijalankan yang mana pihak Petronas Gas Berhad telah melantik kontraktor berkelayakan untuk membuat proses baik pulih tersebut.
“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di kawasan itu telah diisytiharkan tutup pada 24 September lepas, bagaimanapun kawalan di pintu masuk masih dilakukan oleh polis bagi mengelakkan dimasuki orang ramai,” katanya selepas merasmikan Taman Angkat Amanita Kontijen Terengganu di Taman Persiaran Limbongan, Kampung Raja, di sini hari ini.
Terdahulu pada 20 September lalu, laluan dari Kerteh ke Kampung Ranggon di Kemaman terpaksa ditutup sementara kepada semua kenderaan susulan kejadian kebocoran paip gas di tapak projek ECRL Seksyen 5.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 2,269 anggota pasukan penyelamat di Terengganu bersiap sedia untuk berdepan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku awal November depan.
“Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bersama agensi penyelamat telah selesai dijalankan di seluruh negeri ini untuk persiapan berdepan MTL. Ia termasuk pengendali bot, mengkoordinasi mangsa-mangsa terlibat banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) serta pengantaran bekalan makanan ke lokasi terlibat,” katanya. – UTUSAN










