Lepas 1.6 juta benih anak udang galah cipta rekod Malaysia Book of Record - Utusan Malaysia

Lepas 1.6 juta benih anak udang galah cipta rekod Malaysia Book of Record

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Jabatan Perikanan Johor mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) selepas melepaskan sebanyak 1.6 juta ekor benih anak udang galah di sekitar perairan sungai negeri Johor secara serentak hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip berkata, pelepasan serentak benih anak udang galah itu dilakukan di tujuh perairan sungai daerah meliputi Segamat, Batu Pahat, Tangkak, Muar, Mersing, Kluang dan Kota Tinggi.

“Di Segamat umpamanya kita melepaskan benih anak udang galah sebanyak 475,000 ekor ke dalam Sungai Buloh Kasap.

“Program ini bukan saja meningkatkan bekalan dan populasi udang galah di negeri ini tetapi turut bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya melepaskan benih hasil air tawar berdasarkan spesis yang ditentukan oleh Jabatan Perikanan Johor.

“Ia juga bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama memelihara sumber asli air tawar bagi membolehkan ekosistem sentiasa berada dalam keadaan sihat dan generasi akan datang juga boleh menikmati hasil ikan asli,” katanya ketika ditemui dalam Program Pelepasan Benih Anak Udang Galah di Jambatan Putus Buloh Kasap di sini, pagi ini.

Pengiktirafan itu diberikan wakil MBOR bagi kategori pelepasan benih anak udang galah serentak terbanyak di Malaysia.

Zahari yang juga ADUN Buloh Kasap berkata, secara purata ratusan ribu anak benih udang galah dilepaskan setiap tahun di perairan seluruh negeri Johor bagi menambah bekalan hasil air tawar sekali gus memulihara kepelbagaian biodiversiti negeri.

“Usaha berkenaan giat dilakukan pihak kami melalui program pelepasan benih anak udang galah sebagai usaha menguruskan penambahan sumber hasil air tawar negeri.

“Biasanya kita melepaskan benih anak udang galah secara purata lebih kurang ratusan ribu (benih) dalam setahun di seluruh negeri secara berperingkat. Hari ini adalah pelepasan serentak yang dilaksanakan sebagai acara pelepasan akhir untuk tahun ini,” katanya.

Zahari mengingatkan masyarakat supaya tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bom ikan sama ada di perairan air tawar seperti sungai dan tasik atau perairan laut kerana ia bukan saja memusnahkan ekosistem, malah membahayakan diri dan persekitaran setempat.

Ujarnya lagi, akhir-akhir ini aktiviti berkenaan agak terkawal dan aduan mengenainya semakin berkurangan, namun pihaknya sentiasa melaksanakan pemantauan dalam usaha mencegah aktiviti yang haram berkenaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN